Saturday, February 3, 2018
Pemimpin PKR bergilir serang Amanah Selangor kecoh agihan kerusi
PETALING JAYA: Beberapa pemimpin PKR menyerang Amanah Selangor yang mendakwa tiada rundingan diadakan, selepas Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata 4 mesyuarat diadakan dengan sekutu Pakatan Harapan (PH) untuk mengagihkan 80% kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Tiga pemimpin PKR dalam kenyataan berasingan menolak dakwaan Pengerusi Amanah Selangor, Izham Hashim, mereka hanya dipelawa untuk membincangkan strategi pilihan raya PH.
Pemimpin PKR itu mengesahkan mesyuarat sudah diadakan untuk membincangkan pembahagian kerusi DUN di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya PH Selangor, Dr Xavier Jayakumar berkata, tidak wajar Amanah membincangkan isu itu secara terbuka sehingga menyebabkan kekecohan.
Beliau berkata, sejak permulaan mesyuarat pertama sudah dinyatakan objektif Jawatankuasa Pilihan Raya PH ialah membincangkan pembahagian kerusi dengan dihadiri wakil setiap parti yang mempunyai kapasiti untuk membuat keputusan.
Katanya, 4 mesyuarat sudah diadakan dengan yang terakhir Amanah meminta sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan.
“Saya tekankan di tahap ini, sebenarnya tiada keperluan sebuah jawatankuasa baharu ditubuhkan kerana itu hanyalah permintaan Amanah untuk melengahkan rundingan.
“Sekarang, Majlis Presiden meminta kami teruskan, kami perlu sambung segera dan selesaikan pembahagian kerusi itu.
“Marilah kita bersama-sama bersatu dan selesaikan tugas ini. Matlamat utama kami ialah mempertahankan Selangor tidak kira apa cara sekalipun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Amanah dan DAP dilaporkan tidak tahu mengenai rundingan pembahagian kerusi DUN seperti dinyatakan menteri besar Selangor itu.
Ia selepas Azmin menyatakan 4 mesyuarat diadakan antara parti dalam PH untuk menentukan pengagihan 80% kerusi DUN.
Izham bagaimanapun berkata, Amanah hanya dijemput untuk membincangkan strategi pilihan raya PH dan permintaan parti itu untuk menubuhkan jawatankuasa khas bagi membincangkan perkara itu tidak dipedulikan Azmin.
Sementara itu, Setiausaha PH Selangor, Zuraida Kamaruddin berkata, Izham tidak patut kurang ajar dan merendah-rendahkan Azmin, sebaliknya beliau perlu merujuk kepimpinan Amanah sebelum membawa isu itu kepada media.
“Amanah mungkin sebuah parti baharu, tetapi pemimpinnya ialah ahli politik veteran dan sepatutnya tahu rundingan pembahagian kerusi memerlukan masa dan kesabaran.
“Mengkritik dan memberi kata dua melalui media tidak produktif. Perlu ada kematangan dan saling hormat-menghormati di sini,” katanya yang mengesahkan rundingan pembahagian kerusi sudah diadakan dalam mesyuarat jawatankuasa pilihan raya.
Naib Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor, Hee Loy Sian pula bimbang penggunaan bahasa kasar oleh Izham dijadikan kayu pengukur yang boleh memecahbelahkan perpaduan PH di peringkat akar umbi.
“Kenyataan Izham memperlihatkan disiplin organisasi yang lemah dan lebih mengecewakan apabila beliau menafikan 4 pertemuan awal yang turut membincangkan soal rundingan kerusi untuk Selangor.
“Saya menasihatkan Izham membuang jauh sikap parti lamanya dan menyuburkan budaya politik baharu dalam PH,” katanya yang mengingatkan Izham untuk menghormati struktur PH.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment