Oleh Nur Atiqah Samad
ALOR SETAR: Pakatan Harapan (PH) mendakwa pihaknya mempunyai beberapa
alternatif lain sekiranya gagal didaftarkan sebagai parti yang sah
mengikut kehendak Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS).
Namun Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad enggan memperincikan kaedah yang dimaksudkan.
"Kita ada beberapa cara untuk mengatasi masalah ini tetapi ketika ini
kita tak isytiharlah cara-caranya. Percayalah kita pun ada cara lawan
cara mereka," katanya dalam satu sidang media di Konvensyen Nasional
Amanah, di sini, hari ini.
Beliau turut mendakwa ada pihak yang sengaja mahu menggagalkan
pendaftaran PH sebagai satu parti yang sah dalam usaha untuk tidak
membenarkan PKR, DAP, Amanah dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)
bertanding di bawah satu logo dan simbol.
"Kita dah jumpa pegawai RoS, nampak tak ada masalah. Dia nak kita tukar
logo atau pun simbol, itu pun kita dah ikut kehendak RoS.
"Sekarang ni saya percaya ada menteri ni luar biasa. Kami tanya tak
jawab, tulis surat tak jawab. Saya tak tahu sama ada mereka bisu atau
pekak, tapi kita dah bagi tahu kita nak daftar (parti).
"Kalau ada yang silap bagi tahu, kita boleh ubah tetapi nampak perasaan
takut sangat kepada PH. Cara nak kalahkan PH adalah supaya tidak
didaftar," katanya lagi.
Pada 28 Julai lalu, RoS mengarahkan PH menukar logo parti gabungan itu sebelum ia dapat didaftarkan.
RoS mahu gabungan pembangkang meletakkan perkataan 'Pakatan Harapan'
secara penuh di dalam logo, berbanding perkataan 'Harapan' sahaja.
No comments:
Post a Comment