Oleh Athirah Hanapiah
SHAH ALAM: Belanjawan Alternatif 2018 yang dibentangkan Pakatan
Harapan (PH) tidak bersifat realistik untuk jangka masa terdekat kerana
beberapa 'janji' yang ditawarkan mengambil tempoh masa yang panjang
untuk dilaksanakan.
Penganalisis ekonomi Prof Dr Barjoyai Bardai berpendapat, belanjawan
alternatif yang dibentangkan pembangkang hari ini lebih berbentuk kepada
'wawasan' memandangkan banyak perkara yang perlu diteliti dan diambil
kira.
"Ini memerlukan masa, bukan boleh dilakukan sekelip mata, jadi mungkin kita kata apa yang dibentangkan adalah satu wawasan.
"Dalam satu belanjawan itu kita sekarang ini membelanjakan dalam
RM250-300 bilion, jadi kalau kita ingin potong semua itu, itu sudah
melebihi 50 peratus dari belanjawan kita.
"Kita boleh mempunyai wawasan dalam tempoh 10 tahun, kita boleh
hapuskan tol dan berikan pendidikan percuma dan kita boleh hapuskan GST
(Cukai Barang dan Perkhidmatan), itu boleh dilakukan dalam masa 10 atau
20 tahun.
"(Belanjawan alternatif) realistik tapi mengambil masa, bukan
serta-merta dan tidak boleh dilakukan dalam satu belanjawan," katanya
ketika dihubungi Antarapos.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Belanjawan
Alternatif 2018 yang dibentangkan PH pada hari ini, dua hari sebelum
kerajaan Barisan Nasional (BN) mengumumkan Bajet 2018 Jumaat ini.
Antara 10 intipati yang dijanjikan parti itu termasuk mahu memansuhkan
Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), selain berhasrat untuk
menghapuskan tol dan memberikan pendidikan percuma kepada pelajar.
Bajet populis
PH berkata tawaran yang dijanjikan itu akan dilaksanakan sekiranya mereka memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kelak.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semasa sesi
pembentangannya petang tadi menyifatkan belanjawan alternatif itu
sebagai peringatan kepada kerajaan, bahawa hasrat mereka menghapuskan
GST itu sebagai usaha membantu pengguna.
Dalam belanjawan bertemakan “Belanja Berhemah, Potong Cukai, Pilih
Harapan” itu, PH mahu menggantikan GST yang dimansuhkan dengan cukai
jualan dan perkhidmatan (SST).
"Sebenarnya GST telah menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan, jadi
persoalannya ialah kalau GST dihapuskan adakah cukai jualan dan
perkhidmatan akan diperkenalkan semula.
"Kalau ia tidak diperkenalkan semula, dari mana akan datang sumber kewangan untuk menggantikan GST?," ulasnya.
Bagaimanapun penggantian cukai GST kepada SST hanya hanya akan menjana
pendapatan bersih RM16.5 bilion, berbanding GST yang dijangka
menyumbang RM42 bilion pendapatan bagi tahun 2018.
PH turut menjelaskan bagi kekurangan RM25.5 bilion itu, mereka
mendakwa bahawa dengan menyalurkan hasil yang dikumpulkan ke dalam
ekonomi akan seterusnya meningkatkan hasil persekutuan kerana pengguna
dan aktiviti perniagaan akan meningkat.
Dalam pada itu, Barjoyai tidak menolak belanjawan alternatif itu merupakan belanjawan populis, sungguhpun ia dinafikan PH.
Menurut pensyarah di Universiti Tun Abdul Razak (UTAR) itu, kerajaan
BN juga akan mengemukakan bajet populis kerana menyedari PRU akan
berlangsung tidak lama lagi.
Namun katanya, sejauhmana sesuatu bajet itu realistik adalah bergantung kepada penilaian dan perspektif rakyat itu sendiri.
"Sebenarnya semua parti politik akan mengemukakan bajet yang populis
pada tahun ini kerana Pilihan raya akan menjelang tidak lama lagi,
kerajaan BN juga akan mengemukakan belanjawan populis.
"Cuma mana yang lebih realistik bergantung kepada perspektif yang kita
lihat mungkin adakah pembangkang ini realistik dari segi matlamatnya
dalam jangka pendek, mungkin tidak, tetapi sebagai satu strategi masa
panjang itu merupakan satu wawasan yang sangat baik," ujarnya.
No comments:
Post a Comment