Sunday, October 29, 2017

Wan Azizah tiup semangat juang aktivis sempena pembebasan Tian Chua

KEADILAN DAILY

ec23b0dc-d1b6-48bc-bdd9-a93c12c0dfc2

Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggesa aktivis dan pemimpin-pemimpin pembangkang agar tidak gentar dan terus berjuang untuk masyarakat dengan pembebasan Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua dari penjara pagi ini.

Presiden KEADILAN itu membuat seruan tersebut menerusi akaun Facebook beliau selepas menyambut pembebasan Tian Chua awal pagi ini di hadapan Penjara Kajang.

“Semoga semangat juang pemimpin dan aktivis semakin tinggi untuk terus mendepani isu-isu rakyat,” katanya.

Tian Chua dibebaskan pagi ini selepas menjalani hukuman penjara sebulan di Penjara Kajang kerana memprotes arahan polis sewaktu himpunan BERSIH pada 2012.

Ahli Parlimen Batu itu berkata beliau dikejutkan dari tidur oleh pegawai penjara pada 5 pagi sebelum dibebaskan pada 7 pagi ini, lapor Malaysiakini.

Presiden Pakatan Harapan, Wan Azizah dan Timbalan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berada di luar penjara untuk menyambut pembebasan Tian Chua.

Azmin dilaporkan memeluk Tian sambil bergurau bahawa itu adalah kali pertama Tian Chua terpaksa bangun awal pagi.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada Wan Azizah dan Azmin atas kehadiran mereka, Chua berkata beliau percaya pembebasannya yang lebih awal daripada masa yang dijadualkan pada 9 pagi berlaku kerana polis takut dengan perhimpunan yang dirancang.

Tian Chua sebelum ini didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen pada 23 Januari 2014 kerana enggan mematuhi arahan polis agar meninggalkan kawasan Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Jalan Semarak pada 2.30 petang 29 April 2012, sehari selepas perhimpunan BERSIH3.0.

Mahkamah mengenakan hukuman penjara sebulan dan denda RM1,000.

Pada hari rayuan kesnya, Tian Chua membuat keputusan menarik balik rayuan terakhirnya berhubung sabitan itu dan memilih untuk dipenjarakan.



No comments: