BENTONG: Kementerian Pengangkutan sedang mengkaji kesesuaian mewujudkan
dasar tamat hayat kenderaan yang akan menetapkan had usia kenderaan,
kata Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Beliau berkata ketetapan itu diambil untuk mengurangkan risiko
kemalangan disebabkan faktor usia kenderaan, seperti kemalangan dua bas
kilang berhampiran Plaza Tol Juru, Pulau Pinang pada 24 Oktober lalu
yang menyebabkan lapan maut.
Katanya, siasatan awal mendapati sebuah bas yang berhenti di tepi jalan
akibat kerosakan dalam kemalangan itu telah berusia 32 tahun manakala
sebuah lagi bas berusia melebihi 10 tahun.
“Walaupun siasatan awal mendapati kedua-dua bas itu lulus pemeriksaan
Puspakom pada September lalu, namun kita tidak tahu jika kenderaan itu
rosak selepas menjalani ujian, terutamanya bas yang usianya sudah
terlalu lama.
“Sebab itu, kita melihat isu berkaitan usia kenderaan merupakan perkara
besar dalam aspek keselamatan jalan raya dan perkara ini telah
dipraktikkan di negara lain seperti Jepun dan Singapura atas sebab
keselamatan,” katanya.
Beliau menambah dasar baru itu juga, jika dilaksanakan akan melibatkan
kerjasama daripada Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Asli untuk
melupuskan kenderaan yang telah ditamatkan hayatnya mengikut cara yang
sepatutnya dan mesra alam sekitar.
“Ketiadaan dasar ini menyebabkan kereta lama yang sudah berusia 30, 40
tahun tersadai begitu sahaja atau dipotong. Sebab itu kita mahu adakan
kajian kesesuaian dasar ini yang diharapkan dapat selesai dalam tempoh
masa sesuai,” katanya.
Beliau juga memberi jaminan bahawa kerajaan akan mendengar pandangan
rakyat dan semua pihak berkepentingan dalam isu tersebut supaya
pelaksananaanya tidak membebankan mana-mana pihak kerana matlamatnya
ialah menjamin keselamatan.
“Kita tidak mahu memaksa atau buat rakyat berasa dipaksa…sebab itu kita
akan libatkan mereka dalam kajian ini. Antara cadangan yang difikirkan
ialah supaya dasar ini dilaksanakan secara sukarela.
No comments:
Post a Comment