KOTA KINABALU: Sungguhpun direman enam hari bagi membantu siasatan
berhubung kes penyelewengan dana pembangunan luar bandar di negeri ini,
ADUN Lahad Datu, Datuk Mohd Yusof Apdal tetap setia kepada Umno.
Beliau juga melafazkan ikrar taat setia untuk menyokong kepimpinan
Perdana Menteri Datuk Najib Razak dan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa
Aman untuk terus memperjuangkan Umno.
“Saya sentiasa bersama Umno dan akan terus kekal dengan Umno.
“Saya akan sentiasa bersama kepimpinan parti (Najib), pengerusi
perhubungan negeri (Musa) dan rakan-rakan lain untuk memenangi pilihan
raya akan datang,” katanya pada satu sidang akhbar khas di sebuah pusat
perubatan swasta di sini.
Mohd Yusof mengadakan sidang akhbar itu di sebuah pusat perubatan
swasta di sini di mana beliau dimasukkan ke wad sejak semalam bagi
rawatan masalah buasir yang dialaminya.
Beliau turut berterima kasih kepada penyokongnya dan menasihatkan agar
tidak terpengaruh dengan dakyah politik mana-mana pihak mengenai
penahanannya itu.
Mohd Yusof turut menghargai tanggungjawab yang dijalankan Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat dan mencari penjelasan
kepada kes itu yang melibatkan dana untuk pembangunan rakyat di luar
bandar.
Sambil menyatakan keengganannya untuk mendedahkan siasatan SPRM
terhadapnya, beliau berkata suruhanjaya itu telah menjalankan
tanggungjawab mereka dengan profesional.
“Semasa dalam tahanan, mereka (SPRM) telah melayan saya dengan baik dan
mesra dan memberi saya peluang ketika saya memerlukan rawatan kesihatan
sebanyak dua kali.
“Mereka bertindak profesional dan tiada yang mereka lakukan di luar Prosedur Operasi Standard (SOP) SPRM,” katanya.
Ditanya mengenai hubungannya dengan abangnya, Datuk Seri Mohd Shafie
Apdal yang turut ditahan SPRM, beliau menjawab walaupun tidak sependapat
dengan Mohd Shafie mengenai hal politik, hubungan mereka sebagai
adik-beradik tidak terjejas.
Mohd Yusof, yang juga Ketua Umno Bahagian Silam, ditahan SPRM pada 17
Oktober lalu dan direman sejak 18 Oktober bagi membantu siasatan
berhubung penyelewengan dana pembangunan luar bandar mengikut Seksyen
17A Akta SPRM 2009.
Beliau dibebaskan pada Isnin lalu lepas dengan ikat jamin SPRM
RM100,000 dengan RM 50,000 deposit berserta dua penjamin tempatan.
No comments:
Post a Comment