Sekumpulan NGO menuntut bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meminta maaf atas penahanan 106 orang tanpa bicara semasa Operasi Lalang 30 tahun lalu.
"(Beliau perlu minta maaf) kerana menyekat kebebasan ramai rakyat Malaysia yang tidak bersalah dan penyiksaan yang dilalui mereka semasa Operasi Lalang.
"(Beliau juga perlu minta maaf) atas serangan terhadap kehakiman yang sehingga kini masih belum pulij," kata 77 kumpulan NGO dalam kenyataan bersama mereka hari ini.
Kumpulan NGO itu juga menuntut Mahathir meminta maaf kepada bekas ketua hakim Tun Salleh Abas dan hakim-hakim mahkamah lainnya yang diberhentikan pada tahun 1988.
Kenyataan ini dibuat bersempena dengan pameran awam bagi memperingati ulang tahun ke 30 Operasi Lalang.
Terdapat empat NGO yang memulakan insiatif membuat kenyataan ini iaitu Jawatankuasa Hak Sivil Dewan Perhimpunan Selangor dan Kuala (KLSCAH), KLSCAH Youth, Teoh Beng Hock Trust for Democracy dan Suaram.
Seterusnya, kumpulan itu juga menggesa suatu siasatan lengkap dibuat berhubung dakwaan bahawa para tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 telah disiksa.
"Kami ingin mengingatkan orang ramai bahawa para tahanan perang sekalipun diberikan perlindungan asas di bawah Konvensyen Geneva.
"Suruhanjaya Hak Asasi Manusia juga telah menyimpulkan 'kelihatannya tiada bukti yang mencukupi bagi mewajarkan penemuan layanan buruk, kejam dan tidak berperi kemanusiaan terhadap beberapa orang tahanan ISA," kata kumpulan itu.
Kumpulan itu berkata Operasi Lalang merupakan satu bentuk penindasan dan gangguan terancang terhadap rakyat Malaysia bagi mengalihkan masalah Umno pada masa itu.
"Atas semua alasan yang diberikan kerajaan Mahathir untuk pelanggaran demokrasi di dalam negara, krisis pada 1987 tercipta daripada perebutan kuasa di dalam Umno," kata kenyataan itu.
Mahathir berulangkali mengatakan Operasi Lalang dikendalikan pihak polis dan beliau tidak ada kuasa untuk membantah perintah penahanan.
Sebagai pengerusi gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN), Mahathir sekarang bersekutu dengan beberapa individu yang pernah ditahan semasa Operasi Lalang
No comments:
Post a Comment