Oleh Nur Atiqah Samad
ALOR SETAR: Amanah memberi amaran kepada rakan komponen dalam Pakatan
Harapan (PH) untuk tidak mensabotaj sesama sendiri dalam persediaan
menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang harus diadakan sebelum
Ogos depan.
Dalam memberikan peringatan itu, Presiden Amanah Mohamad Sabu juga
menggesa ahli partinya untuk tidak taksub dengan politik PAS, sebuah
parti yang beliau sifatkan sebagai “dangkal” dan “angkuh.”
Bekas timbalan presiden PAS itu yang juga dikenali sebagai Mat Sabu
menegaskan kesemua rakan komponen hendaklah menggembeling tenaga dan
memberi fokus untuk menawan Putrajaya.
Beliau menegaskan PH tidak boleh mengulangi kesilapan gandingan
pembangkang sebelum ini – Pakatan Rakyat – yang menurutnya, terkubur
kerana pengkhianatan PAS.
"Gabungan Pakatan Harapan kali ini mesti bebas daripada unusr-unsur
khianat dan ketidak-jujuran seperti mana yang pernah menghantui Pakatan
Rakyat.
"Masalah-masalah lama yang kita lihat pernah berlaku dalam Pakatan
Rakyat, kebanyakannya angkara PAS. Adalah perkara bahan sejarah untuk
kita insafi dan tidak kita ulangi. Seperti pernah dilakukan PAS di
Machang, Ketereh, dan Tanah Merah,” kata Mat Sabu ketika merasmikan
Kongres Kebangsaaan Amanah di sini.
Beliau berkata Amanah harus memainkan peranan memastikan tidak ada
pertindihan kerusi oleh PH dalam meletakkan calon menentang BN dan parti
lain.
"Jangan ada walaupun satu kerusi yang ditandingi bersama oleh anggota
Pakatan Harapan. Jangan ada juga di mana-mana kerusi ahli parti anggota
Pakatan Harapan tidak menyokong dan mengundi calon Pakatan Harapan,"
katanya.
PH sehingga kini masih belum menyelesaikan pembahagian kerusi secara
keseluruhan meskipun PRU14 diuar-uarkan boleh diadakan penghujung tahun
ini atau suku pertama 2018.
Setakat Ogos lalu, PH dilaporkan baru memuktamadkan lebih kurang 100
kerusi Parlimen dan kini memasuki fasa kedua pembahagian kerusi di
peringkat DUN.
Pembahagian kerusi PH mengundang kemelut tersendiri apabila PKR dan
DAP berkemungkinan terpaksa memberi kerusi mereka kepada iaitu Amanah
dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Dua parti itu akan bersaing dalam PRU buat kali pertama. Semua kerusi
Parlimen dan DUN Amanah dimenangi atas tiket PAS pada pilihan raya umum
yang lalu.
Beliau sekali lagi menegaskan bahawa tidak ada mana-mana parti yang
mampu menjatuhkan BN secara sendirian sama ada PKR, DAP, PPBM dan
Amanah, apatah lagi PAS.
Sehubungan itu katanya, ahli Amanah tidak perlu lagi mengharapkan PAS untuk membantu menumbangkang BN.
“Biar kita tinggalkan cara pemikiran dangkal dan angkuh PAS, jauh di luar pintu masuk PH.
“Setiap parti ada ‘niche market’nya atau segmen pasaran yang
dikuasainya yang tertentu dan penyatuan segmen pasaran ini dalam satu
Pakatan adalah satu-satunya cara untuk mengalahkan BN.
"Ini keyakinan Amanah dan ini antara sebabnya kami keluar PAS dan tubuhkan Amanah,” kata Mat Sabu.
No comments:
Post a Comment