KUALA LUMPUR: Polis menahan reman suspek yang menikam Ahli Majlis
Tertinggi Umno, Datuk Sohaimi Shahadan selama enam hari bermula hari ini
sehingga 2 November depan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten
Komisioner Fadzil Ahmat, berkata mahkamah membenarkan tempoh reman itu
bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat terhadap lelaki berusia 27 tahun
berkenaan.
Katanya, siasatan forensik turut menemui senjata berupa pisau kecil
yang dipercayai digunakan suspek berhampiran lokasi kejadian.
"Semakan mendapati, suspek pernah ditahan pada bulan April lalu
mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan
merosakkan harta benda dan dibebaskan selepas membayar denda.
"Suspek juga akan dirujuk ke hospital bagi menjalani pemeriksaan kerana
dia dikatakan mempunyai masalah mental," katanya seperti yang
dilaporkan BH Online.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.
Dalam kejadian kira-kira pada jam 8.30 malam semalam, Sohaimi, 48,
cedera di bahagian kepala, belakang telinga kanan dan bahu kanan selepas
ditikam anak jirannya yang disyaki mengalami masalah mental di hadapan
rumah jirannya itu di Taman Desa Moccis, Sungai Buloh.
Kejadian dikatakan berlaku ketika Sohaimi ke rumah suspek untuk menegur
perbuatan lelaki itu yang membaling batu dan mengenai adik iparnya.
Sementara itu, Pegawai Khas Sohaimi, Ameer Firdaus berkata, keadaan
Sohaimi kini stabil dan ditempatkan di wad biasa sebuah hospital swasta
di Damansara.
"Doktor sudah menjahit lukanya malam tadi (semalam). Beliau semakin pulih dan sudah boleh bersembang seperti biasa," katanya.
No comments:
Post a Comment