Friday, October 27, 2017
Akhbar Amanah Akui Parti Makin Suram – Dr Kamarul
Dr Kamarul Zaman Yusoff
Dalam majlis terbuka yang boleh diikuti secara langsung oleh sesiapa sahaja seperti dalam Konvensyen Nasional AMANAH di Alor Setar, Kedah, pada 20-22 Oktober baru-baru ini berdegar-degar para pemimpin tertinggi AMANAH melaung-laungkan kekuatan AMANAH dan kemampuan Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14.
Antara lainnya, Setiausaha Agung AMANAH, Mohd Anuar Tahir, mengisytiharkan bahawa AMANAH adalah “salah satu parti terbaik di dunia” (“one of the best party in the world”) manakala Presiden AMANAH, Mohamad Sabu, pula mengisytiharkan keyakinan beliau bahawa “AMANAH akan jadi parti yang terkuat dan terbesar di Malaysia”.
Malangnya, membaca keluaran terbaru akhbar AMANAH, Bilangan 72, 15-21 Oktober, yang tercatat di muka pertamanya “untuk ahli (AMANAH) sahaja”, lain pula ceritanya kerana di dalam akhbar ini tiada lagi fantasi dan retorik yang muluk-muluk sebaliknya apa yang terpapar di dalamnya adalah realiti dan pengakuan yang pahit-pahit.
Presiden AMANAH, Mohamad Sabu, ketika ditanya oleh Ahmad Lutfi Othman dan Arif Atan dalam satu wawancara pada 9 Oktober, mengenai pencapaian AMANAH setelah dua tahun ia berada dalam politik negara, mendedahkan bahawa “daripada segi keahlian (AMANAH) agak sederhana tidak begitu mendadak seperti BERSATU”.
Seorang kolumnis akhbar AMANAH menulis: “Semakin lama semakin ramai yang menilai kalau yang ditawarkan oleh Pakatan Harapan, baik falsafah politik mahupun kepimpinan masa hadapannya, tidak jauh beza dengan apa yang dimiliki oleh Barisan Nasional… Tawaran politik yang dipersembahkan oleh Pakatan Harapan tidak lagi begitu substantif. Malah, prestasinya jauh merosot berbanding Pakatan Rakyat dahulu.”
Seorang lagi kolumnis akhbar AMANAH secara terbuka mengakui bahawa Pakatan Harapan tidak memberi penekanan terhadap Melayu-Islam dengan menulis: “Buat masa ini, penekanan terhadap Melayu-Islam adalah jelas dibuat oleh Barisan-Gagasan. Pakatan Harapan menawarkan pembaharuan negara dan bangsa Malaysia”.
Seorang lagi kolumnis akhbar AMANAH pula mengakui bahawa Pakatan Harapan masih gagal menarik sokongan generasi lama Melayu terhadapnya dengan menulis: “Daripada pelbagai sumber dapatan, tinjauan rambang dan ulasan beberapa pihak, menunjukkan isyarat bahawa masih kuat sokongan generasi lama, terutama di luar bandar, yang enggan berubah.”
Seorang lagi kolumnis akhbar AMANAH mempertikaikan wujudnya “Tsunami Melayu” terhadap Pakatan Harapan dengan menulis: “Jikalau benar momentum Tsunami Melayu itu menunggu masa untuk meledak, mengapa kita hanya berpusu-pusu ke stesen minyak pada setiap Rabu apabila harga minyak diumumkan naik keesokannya, tetapi bukan berdemonstrasi di jalan raya?”
Apa lagi nak kita kata bila akhbar AMANAH sendiri pun pesimis dengan Pakatan Harapan?
Dr Kamarul Zaman Yusoff, Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN),
Universiti Utara Malaysia (UUM).
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment