Saturday, October 28, 2017

Berang diarah alih Vellfire, ‘Datuk Seri’ pukul 3 Rela

 
3 anggota Rela masing-masing cedera di kepala, mata dan perut dalam kejadian di sebuah tokong di Jalan Ampang.


Rela_polis_600


KUALA LUMPUR: Tiga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) cedera selepas mendakwa dipukul seorang “Datuk Seri” di sebuah tokong di Jalan Ampang semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi itu mangsa Melvin Cheong Mun Khai, 19, Lee Weng Poh, 27, dan Leong Jiun Jie, 21, masing-masing mengalami kecederaan di kepala, mata dan perut.

Melvin Chong berkata kejadian bermula apabila beliau meminta “Datuk Seri” itu agar mengalihkan kenderaan Toyota Vellfire miliknya yang menganggu lalu lintas, namun dia enggan berbuat demikian.

“Lelaki itu marah bila saya minta alihkan kenderaannya dan menepuk meja serta memaki kami selain mengugut akan mengapa-apakan kami.

“Rakan saya Lee dan Leong bertindak untuk meleraikan keadaan, tetapi lelaki itu terus memukul dan menendang kami,” katanya pada sidang media hari ini.

Kejadian tersebut dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) dan laporan polis dibuat di Balai Polis Ampang, katanya.

Turut hadir pada sidang media itu Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA merangkap Timbalan Pesuruhjaya Kehormat Rela, Datuk Seri Michael Chong.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Supt Mohd Zaid Hassan mengesahkan kejadian berkenaan dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Katanya, setakat ini tiada tangkapan dibuat dan pihak polis sedang mengenal pasti suspek serta status “Datuk Seri” itu.

No comments: