Oleh Athirah Hanapiah
SHAH ALAM: DAP sengaja mahu memprovokasi PAS apabila bertanyakan 'Mana
Bajet PAS'?, kata Penganalisis politik, Edwin Michael Muniandy.
Justeru beliau berkata PAS tidak perlu melayan karenah DAP untuk
membentangkan bajet mereka dan sentiasa 'mengukur baju di badan sendiri'
sementelah mempunyai bilangan ahli Parlimen yang sedikit dalam Dewan
Rakyat.
"DAP tidak ada satu justifikasi yang jelas mengapa mereka perlu provoke
PAS untuk bentangkan bajet, dan ini dilakukan semata-mata untuk
mencabar PAS sebab selama ini kita tahu PAS dan DAP sudah banyak tidak
sefahaman dengan beberapa isu, jadi ini peluang yang terbaik untuk DAP
untuk 'provoke' PAS.
"Sebenarnya, dalam konteks politik yang sebenar, DAP tidak perlu ambil
peduli sama ada PAS mahu bentangkan bajet mereka atau tidak. Itu tidak
ada kena mengena dengan mereka," katanya ketika dihubungi Antarapos.
Terdahulu, Ahli Parlimen DAP, Lim Lip Eng mempersoalkan mana bajet
alternatif daripada PAS untuk memperlihatkan dasar kewangan mereka.
Malah Ahli Parlimen Segambut itu bertanyakan adakah PAS hanya ke
Parlimen untuk memperjuangkan Rang Undang-Undang (RUU) 355 atau Akta
Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dan tidak mempedulikan
hal-hal negara yang lain.
Mengulas lanjut, Edwin berkata sememangnya tiada keperluan bagi PAS
untuk membentangkan bajet mereka kerana ia adalah sebuah parti tunggal
yang kini bergerak sendiri.
"Sekarang ini, kalau PAS bersama lagi dengan Pakatan, ia akan jadi
berbeza tetapi sekarang mereka (PAS) hanya jadi satu parti pembangkang
tunggal yang tidak bekerjasama dengan PH, jadi sebab itu saya tidak
nampak kenapa PAS perlu membentangkan bajet alternatif mereka.
"PAS juga sebelum ini sudah memberitahu bahawa target mereka adalah
untuk bertanding di 40 kerusi Parlimen, jadi mereka tidak ada hasrat
untuk menawan Putrajaya jadi tidak ada apa-apa kepentingan untuk memberi
sebarang tawaran di peringkat nasional," ujarnya.
Semalam, PH membentangkan Belanjawan Alternatif 2018 mereka, dua hari
sebelum kerajaan Barisan Nasional (BN) mengumumkan Bajet 2018 Jumaat
ini.
Antara 10 intipati yang dijanjikan parti itu termasuk mahu memansuhkan
Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), selain berhasrat untuk
menghapuskan tol dan memberikan pendidikan percuma kepada pelajar.
Namun, ada yang menganggap bajet yang dikemukakan pembangkang itu sebagai bajet populis.
No comments:
Post a Comment