Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) menolak permohonan Gerakan Harapan Baru (GHB) untuk menggunakan nama Parti Progresif Islam sebagai nama parti baru yang hendak ditubuhkan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana Islam adalah hak untuk semua yang beragama Islam dan penggunaan nama itu pada parti politik hanya boleh menyebabkan kekeliruan, lapor Bernama.
"Mereka mengharapkan agar golongan yang berada dalam PAS tetapi tidak setuju dengan ulama tetapi setuju dengan Islam yang progresif, dapat menyokong parti itu.
"Saya ingin nyatakan bahawa kita tidak akan benarkan mana-mana parti menggunakan nama agama kerana Islam bukan untuk mereka sahaja, tetapi juga untuk kita dan untuk orang Islam yang tidak ada parti," katanya seperti dilapor agensi berita itu.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Marang di Dewan Utama Majlis Daerah Marang, Kampung Paya, di Marang hari ini.
Majlis turut dihadiri oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu yang juga Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dan Ketua Umno Bahagian Marang A Latif Awang.
Ahmad Zahid berkata sebagai menteri dalam negeri yang bertanggungjawab, beliau tidak mahu mengulangi kesilapan lepas yang membenarkan sebuah parti politik menggunakan nama Islam sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang Islam di negara ini.
"Kita tidak mahu kesalahan dulu yang memberikan keizinan kepada sebuah parti menggunakan nama Islam sehingga memberi tanggapan seolah-olah hanya dengan menyertai parti itu kita memperjuangkan Islam dan masuk syurga.
Sehubungan itu, katanya ROS akan memberikan surat kepada pemimpin GHB agar memilih nama lain untuk digunakan pada parti baharu berkenaan.
Ahmad Zahid berkata, sebagai sebuah negara yang demokratik, kerajaan tidak pernah menghalang mana-mana pihak untuk menubuhkan parti politik baharu di negara.
Namun dalam masa yang sama, katanya beliau berharap parti baharu yang ditubuhkan itu tidak memecah belahkan orang Melayu.
"Jangan cuba memecah belahkan perpaduan orang Melayu. Kita mahu seluruh Melayu, jika atas agenda memperkasakan Melayu dan negara, perlu bersatu hati tidak kira dalam parti politik mana sekalipun (kita) berada," katanya.
Dalam masa yang sama Ahmad Zahid turut mengulangi gesaan supaya anggota Umno supaya kembali memperkukuhkan parti untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang, tidak kira apa permasalahan yang sedang dihadapi kini.
"Kita sukar tumbang jika diserang dari luar, tetapi akan mudah hancur jika kita berperang sesama sendiri.
"Jadi kita asahlah kuku dan tanduk dari sekarang agar jangan parah diserang musuh nanti. Gunakan ia untuk menyerang musuh di luar supaya Umno dapat rampas kerusi yang dimenangi pembangkang sebelum ini," katanya.
Sementara itu, susulan perkembangan terbaru ini, tidak jelas sama ada pengisytiharan yang dirancang diadakan pada Isnin depan di Kuala Lumpur akan menjadi kenyataan.
Menurut maklumat unit media GHB kepada media, sebuah parti baru akan diumumkan pada jam 3 petang di sebuah hotel terkemuka.
Parti berlandaskan Islam itu, yang terbuka kepada penganut setiap agama, dikatakan akan menyertai gabungan baru pembangkang dengan DAP dan PKR, menyebabkan PAS mungkin kekal bersendirian.
2 comments:
tak payah le nama islam kat nama parti,apa kah klu tak letak nama islam pada parti,tak bolh perjuangkan islam ke
Kalau depa tak buh nama Islam, camna nak cari pelanggan bekas saing2 depa. Hak hakkk.
Post a Comment