Wednesday, April 22, 2015

Tabik PM atas ketegasan, tapi...

MALAYSIAKINI


 


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak layak mendapat pujian atas ketegasannya terhadap penunjuk perasaan antisalib, yang berpotensi menjadi tidak terkawal.

Langkah itu berbeza sama sekali dengan kritikan lambat bertindak yang dilontar padanya sebelum ini.

Najib juga berkata pihak polis akan menyiasat perkara itu dan mengambil tindakan bawah Akta Hasutan 1948.

Rakyat Malaysia selama ini merasakan negara ini kurang kepimpinan, dengan pemimpin kanannya lebih pentingkan keputusan pilihan raya berbanding tugas sebagai wakil mereka.

Dalam kes ini, Najib bertindak pantas bagi menyelakkan masalah sedia ada membarah, sekali gus mungkin dipergunakan untuk kepentingan sesetengah pihak.

Bagaimanapun, menggunakan Akta Hasutan mungkin bukan pilihan terbaik.

Ini memandangkan pengamalannya selama ini yang terdedah kepada salah guna kuasa, terutamanya bagi mengekang kebebasan bersuara.

Kenapa tak Kanun Keseksaan

Persoalannya, kenapa penduduk Taman Medan, Petaling Jaya tidak disiasat bawah Kanun Keseksaan, yang mempunyai peruntukan cukup untuk menangani kes-kes sebegitu?

Sementara itu, Najib juga harus menyatakan ketegasan sama terhadap Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang kini terpalit dakwaan menguatkuasakan undang-undang secara terpilih.

Ramai pihak membangkitkan, apabila melibatkan pemimpin pembangkang dan aktivis, polis bertindak cukup pantas, termasuk isu melibatkan status di Twitter.

Suspek pula selalu terpaksa bermalam di lokap atas alasan melengkapkan siasatan.

Khalid juga memberi amaran keras supaya orang ramai tidak terus membangkitkan perkara berkaitan agama dan kaum yang boleh membangkitkan ketegangan dalam negara.

Tetapi dalam kes Taman Medan, Khalid akhirnya mengambil pendekatan berbeza.

Malah, sebelum siasatan bermula dan kenyataan dirakamkan, Khalid dilihat sudah membersihkan mereka, termasuk abangnya yang terlibat Datuk Abdullah, daripada kesalahan hasutan.

Tafsiran pelik

Bagi Khalid, perhimpunan penduduk yang mendesak penurunan salib di gereja itu, hanya perhimpunan sebentar atau flashmob.

Khalid juga membuat tafsiran pelik, bahawa penunjuk perasaan itu tidak menyentuh isu agama, sebaliknya cuma bantahan tentang kedudukan gereja.

Tetapi beberapa jam selepas itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tampil dengan pendirian berbeza.

Tetapi semua itu tidak cukup, Najib harus menegur ketua polis negara.

Beliau juga, sebagai presiden Umno, harus memastikan anggota partinya yang terlibat diheret ke lembaga disiplin untuk diadili.

Walaupun Umno kelihatan menjarakkan dirinya daripada perhimpunan hari minggu lalu, sukar untuk menutup hakikat bahawa Abdullah seorang pemimpin cawangan kawasan itu dan Munaliza Hamzah pula calon BN Taman Medan dalam pilihan raya umum lalu.

Najib harus tampil membuat sesuatu untuk generasi akan datang. Ketepikan sebentar soalan pilihan raya umum.

Menanam tebu di pinggir bibir sahaja tidak cukup untuk itu. 


No comments: