KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata,
rakyat mestilah mematuhi undang-undang negara dan menghormati amalan
beragama seperti yang telah termaktub dalam perlembagaan.
Beliau berkata, Kabinet telah membincangkan mengenai bantahan
sekumpulan penduduk terhadap pemasangan lambang salib di luar rumah
kedai yang digunakan sebagai gereja di kawasan Taman Medan, Petaling
Jaya baru-baru ini.
"Polis akan menjalankan siasatan terhadap kumpulan yang telah
mengadakan bantahan di Taman Medan. Jika mereka didapati melanggar
undang-undang negara, tindakan boleh diambil di bawah Akta Hasutan atau
undang-undang sedia ada," katanya dalam satu kenyataan di sini, Selasa.
Beliau berkata Kabinet berpendapat bahawa mereka sepatutnya berbincang
dengan pihak yang berkenaan jika mempunyai sebarang bantahan dan tidak
mengambil tindakan yang boleh menimbulkan keresahan dalam masyarakat
berbilang bangsa di negara ini.
"Akta Hasutan bertujuan menjamin keamanan dan keharmonian kaum di negara ini dan ia melindungi semua agama dan kaum," katanya.
Menurut Najib, kerajaan negeri Selangor berkuasa ke atas status rumah
kedai terbabit sama ada ia telah didaftar sebagai rumah ibadat dan
diberi kebenaran untuk beroperasi.
Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi Hamidi dipetik
sebagai berkata, peserta demontrasi itu boleh dikenakan tindakan
mengikut Akta Hasutan kerana ia melibatkan sensitiviti agama.
Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata
tiada unsur jenayah berhubung isu menurunkan simbol salib di sebuah
gereja di Taman Medan itu.
"Salib itu diturunkan atas permintaan masyarakat dan telah dipersetujui
pastor (gereja itu) dan tiada kekerasan digunakan semasa menurunkan
salib berkenaan, " katanya.
Khalid turut menegaskan pihak polis tidak akan bersifat berat sebelah
dalam menguatkuasa undang-undang sekiranya terdapat sebarang perkara
yang melanggar undang-undang. -- Bernama
No comments:
Post a Comment