Sunday, April 19, 2015

Apabila Perdana Menteri mula bimbang persepsi mengatasi realiti...



Oleh Shahbudin Husin 


Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bercakap tentang pendemokrasian maklumat dan meminta rakyat menilai kesahihan sesuatu berita serta mengingatkan bahaya persepsi berbanding realiti, tentulah beliau sedang merujuk kepada beberapa isu yang hangat berlaku dalam negara sekarang.

Dalam nasihatnya, Datuk Seri Najib berkata, Malaysia kini sedang melalui proses pendemokrasian maklumat yang membolehkan ia disalurkan secara bebas dan dua hala.

Dalam keadaan itu, katanya, banyak maklumat yang digembar-gamburkan dan diputarbelit sehingga disalaherti tanpa disedari dan membuatkan ramai yang terpengaruh dengannya.

Kesannya, tambah beliau, kita sedang berada di era persepsi berbanding realiti.

Sudah tentu Perdana Menteri melontarkan ingatan ini berikutan serangan dan kritikan yang semakin membuak-buak diterimanya kebelakangan ini berkaitan isu-isu melibatkan 1MDB, Altantuya, Sirul, karenah isterinya serta pelbagai lagi yang bukan saja menjadi percakapan ramai tetapi juga menjadi intipati kecaman Tun Mahathir Mohamad terhadapnya.

Tidak dinafikan, khususnya sejak Tun Mahathir semakin agresif mengkritiknya sehingga mendesaknya berundur kerana hilang keyakinan BN akan menang dalam pilihanraya akan datang selagi beliau memimpin negara ini, Datuk Seri Najib hakikatnya semakin menerima sokongan yang berbelah bagi kerana lebih dibayangi oleh persepsi tidak baik mengenai kepimpinannya.

Sementara kelompok berkepentingan dalam UMNO muncul satu demi satu menyatakan sokongan dan rakyat pula semakin didedahkan pelbagai maklumat baru manakala persoalan-persoalan yang berbangkit itu pula gagal diberi penjelasan, semua ini sudah tentu meruncingkan lagi peratusan sokongan yang diterima.

Tetapi, adakah semua maklumat itu sekadar persepsi dan bukannya realiti?

Adakah jumlah hutang 1MDB dan caca-marba berkaitan pelaburan, urusniaga dan simpanan di Pulau Cayman milik syarikat anak emas Perdana Menteri yang dipertikaikan itu bukan realiti?

Berkenaan Sirul dan Altantuya, adakah semua persoalan yang berbangkit semula ketika ini hanya persepsi saja? Apabila Tun Mahathir menanyakan siapa yang memberi arahan kepada Sirul dan Datuk Seri Najib pula sekadar menjawab, isu itu seharusnya tidak timbul lagi kerana beliau sudah pun bersumpah tidak pernah berjumpa atau mengenali Altantuya, adakah ia boleh dianggap realiti melebihi persepsi?

Begitu juga dalam banyak isu lain yang menjadi bualan ramai seperti pembelian jet, pembaziran dan perbelanjaan oleh isterinya, apakah semuanya persepsi semata-mata?

Sesungguhnya banyak persoalan apabila Perdana Menteri mengatakan "kita kini berada di era persepsi berbanding realiti" dan rakyat harus berhati-hati dengannya.

Memang benar dalam keadaan-keadaan tertentu persepsi boleh dibentuk seolah-olah suatu realiti tetapi dalam konteks Malaysia berdasarkan apa yang berlaku dan isu-isu yang diperbualkan, ia adalah realiti melebihi persepsi.

Lebih buruk ia juga sebenarnya adalah realiti yang gagal ditangani dan dijawab dengan baik dan jujur oleh pihak kerajaan sehingga akhirnya merebak menjadi perbualan ramai.

Misalnya dalam isu hutang 1MDB yang bertimbun-timbun sehingga ramai pengkritik menyatakan ia akan memberi kesan kepada negara, pada mulanya ia cuba dinafikan dengan tanggapan asetnya adalah melebihi hutang tetapi apabila kemudiannya kerajaan melalui Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Abdul Wahid Omar sendiri mengakui hutang itu membebankan dan akan menghentikan semua pinjaman baru, ia bermakna sesuatu yang pada mulanya cuba dianggap sekadar persepsi adalah benar-benar realiti.

Dalam hal ini, di ketika kerajaan tidak berkeupayaan menjawab sesuatu isu yang dipersoalkan rakyat, ia tidak seharusnya dengan mudah mengatakan, "Ohh..semuanya terkawal dan segala tanggapan negatif hanyalah persepsi".

Meletakkan sesuatu realiti yang tidak mampu dijawab sebagai beban persepsi tidak akan menjadikan sesuatu pihak dinilai lebih baik oleh rakyat. Dalam era pendemokrasian maklumat sekarang ini, bukan persepsi melebihi realiti yang sepatutnya dibimbangi, tetapi kegagalan memberi penjelasan mesti lebih ditakuti sama ada ianya persepsi mahu pun realiti.

Seiring dengan maklumat yang boleh disalurkan secara lebih bebas dan dua hala, yang lebih pantas dilakukan seharusnya ialah memberi jawapan dan penjelasan yang meyakinkan.

Sebesar mana pun persepsi yang berjaya dikumandangkan, ia tidak mungkin menang dengan kebenaran. Realiti pula, segagah mana sekali pun cuba dinafi, tetap akan menang akhirnya.

No comments: