Isnin, 30 Disember 2013

Fitnah himpunan Turun guna skrip sama

Nik Nazmi

KEADILAN DAILY



KUALA LUMPUR : Kerajaan minoriti Umno-BN menggunakan ‘skrip sama’ untuk memfitnah himpunan Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) 31 Disember ini, kata Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Kata Nik, sebelum ini media pro-BN seperti New Straits Times pernah memfitnah Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) pada September 2012 kononnya berkomplot dengan anasir asing untuk menggugat kestabilan negara.

“Umno-BN menerusi institusi-institusi kerajaan dan media menabur fitnah dengan dakwaan bahawa akan berlaku keganasan untuk menggulingkan kerajaan dalam himpunan ini.

“Skrip baru kononnya ada e-mel di antara Abdul Rahim Ghouse dan Rafizi Ramli mengenai bom di tapak perhimpunan.

TURUN

“Skrip ini skrip sama yang digunakan sebelum ini untuk perhimpunan Bersih dan sebagainya. Namun tuduhan seperti kononnya ada molotov cocktail dan parang habis begitu sahaja selepas (himpunan) Bersih,” kata Nik dalam kenyataan.

Katanya, kerajaan mengalihkan perhatian daripada tuntutan Turun yang mendesak kerajaan memerangi rasuah, menyusun semula subsidi korporat, menangguhkan pelaksanaan cukai GST, mendedahkan perjanjian konsesi tol dan menghapuskan monopoli gula.

“NST pula terpaksa meminta maaf atas dakwaan akhbar tersebut bahawa beberapa NGO digunakan untuk menggulingkan kerajaan. Cukuplah memperbodohkan rakyat.

“Kita sewajarnya mengucapkan tahniah kepada golongan anak-anak muda ini kerana mempunyai kepedulian sosial dan keberanian menyatakan pendirian,” kata Nik.

Justeru, beliau sendiri akan turut bersama hadir ke himpunan Turun dan menyeru anak-anak muda yang cintakan keadilan dan keamanan untuk bersama-sama pada 31 Disember ini.

“Kita buktikan kita tidak akan tunduk kepada provokasi atau terpengaruh dengan propaganda murahan dan akan berhimpun secara aman untuk menyatakan pendirian kita,” katanya.

Tiada ulasan: