Dalam isu memilih pemimpin dalam pilihanraya yang lalu, sebenarnya pemimpin-pemimpin utama pembangkang yang membuatkan BN masih menang dalam jumlah dan perbezaan yang tipis. Disebaliknya, pemimpin BN juga yang membuatkan setengah dari rakyat yang mengundi pembangkang. Masing-masing BN dan pembangkang menyumbang untuk sokongan kepada lawan masing-masing. BN membuatkan PR kuat dan PR juga membuatkan BN kekal sebagai kerajaan.
Bagi saya, kenyataan ini boleh dibuktikan semasa pilihanraya yang akan datang dan tidak perlu saya melayan kecaman setengah pihak terhadap diri saya kerana pandangan saya yang tidak menyenangkan mereka. Pandai tak ada tetapi pengalaman kepada saya ada sikit-sikit. Saya ulangi, UMNO dan BN tetap akan menang dalam pilihanraya yang akan datang walaupun saya sendiri tidak begitu gemar melihat keadaan itu.
Tetapi kenyataan, tetap kenyataan dan saya belum lagi bercadang untuk
menghiburkan diri sendiri dan bermimpi di siang hari seperti ramai yang
begitu di luar sana. Siapa yang hendak mengkritik saya silakan lah.
Lakukanlah sekehendak hati. Katalah saya apa-apa sekali pun kerana
pemimpin pembangkang dan pengikutnya tidak serius dalam melakukan
pengambil alihan kuasa negara.
BN pula begitu lalai kerana mereka tahu pembangkang tidak akan mampu
mendapatkan mandat rakyat yang memerhati segala gelagat pimpinan
kedua-dua belah pihak. Maka berperanglah penyokong terutamanya penyokong
pembangkang dimana-mana....dalam ceramah dan dalam alam cyber memaki
hamun dan mencarut dengan menggunakan bahasa yang kesat terhadap sesiapa
yang mahu bercakap benar yang pembangkang tidak akan mampu mengambil
alih kerajaan ini.
Kebanyakan yang bercakap besar dan mencarut itu adalah yang muda-muda
yang baru bergiat dari tepian politik dan mereka ini garang-garang
kerana hendak menunjukkan hebat dan berbeza. Tetapi ramai hanyalah
seperti anak muda julung berkeris, batang pisang pun hendak
disanggahnya.
Maklum sajalah baru cuba-cuba memegang keris, sampai tidak ada masa
menyarungkan keris kesarungnya. Asyik hendak memaki hamun dengan
perkataan-perkataan kotor sampaikan tidak ada masa untuk menunjukkan
cadangan yang baik bagi kebaikan bersama. Baru pagi tadi seorang yang
agak ‘senior’ dalam pembangkang bercakap dengan saya.
Katanya “selagi kami pembangkang masih tidak menukar pimpinan mereka
selagi itulah PR tidak akan kemana-mana dan selagi UMNO dipimpin oleh
Najib serta barisan yang ada selagi itulah mereka akan menjahanamkan
kita”. Katanya “it’s a choice between the devil and deep blue sea”.
Saya berasa lega mendengar kata-katanya itu, kerana saya telah menulis
dalam posting saya beberapa hari yang lepas, yang kita harus melupakan
‘partisan politics’ dan kita cari pemimpin yang ‘level headed’ untuk
menyusun kembali negara ini buat seketika. Selepas disusun dan
dikembalikan ‘sanity’ dalam politik negara beliau boleh mengundurkan
diri untuk di serahkan kepimpinan negara kepada mereka yang
berkesanggupan mengakui yang negara memerlukan pemimpin yang
berkepimpinan, bukannya pemimpin yang tidak tahu apa dia kepimpinan itu.
“Kita letih dengan cara memilih pemimpin baik dalam PR mahupun dalam
BN. Siapa yang berteriak lebih kuat atau berjenaka diatas pentas itulah
pemimpin bagi mereka. Kita sudah banyak sumber untuk mendengar lawak
jenaka ini. Kita boleh tengok filem lakonan AR Tompel dan
rakan-rakannya” kata kawan saya tadi selamba.
Saya bersetuju dengan pandangannya kerana hakikatnya siapa yang
bercakap tidak bersopan itu, memang pasti bukan pemimpin atau penyokong
yang baik. Siapa yang bercakap besar dan memaki hamun dengan kata-kata
kesat itu, sudah pasti mereka yang kosong dalam pemikiran atau jiwanya.
Itu ‘nature’, kerana orang yang bersikap begitu selalunya orang yang
terlalu banyak kelemahan yang hendak ditutupi dan dilindunginya.
Tidak ada siapa yang bercakap secara ‘organic’ untuk melakukan kelainan
untuk kebaikan dan yang bercakap besar ini pun tidak nampak perkara
yang benar-benar teguh yang telah membawa perubahan kepada negara. Tidak
ada juga perancangan dasar yang boleh merubah politik negara kearah
kebaikan. Yang kita dengar hanyalah penghapusan PTPTN, penghapusan tol
dan mengurangkan harga minyak.
Tetapi tidak ada perancangan untuk membangunkan rakyat melalui
dasar-dasar yang konkrit untuk menambah nilai pemikiran dan sikap
manusia dan menambah nilai budaya dan membentuk ‘sense of ownership’
terhadap negara. Tiada dasar atau usaha untuk meningkatkan nilai dan
keutamaan bagi menambah kekuatan negara sebagai sebuah negara
persekutuan.
Baik dalam PR atau BN pemimpin yang benar-benar pemimpin tidak boleh
timbul kerana politik peribadi masing-masing. Bagi mereka hanya mereka
yang berada dalam barisan kroni mereka sahaja yang boleh timbul kerana
kuasa itu tidak boleh terlepas kepada orang yang baik dan bermutu.
Contohnya orang Melayu P Pinang sedang cuba dibuktikan oleh parti yang
memerintah negeri itu yang Melayu semuanya bodoh dan tidak boleh berada
di dalam Dewan Undangan Negeri. Orang melayu yang beragama Islam hanya
layak untuk menerima ehsan kumpulan yang mentadbir negeri itu dengan
peruntukan untuk hal ehwal Islamnya yang sebanyak RM63 juta itu sahaja.
Selainnya Melayu hanya layak untuk menampal poster dan banting dalam
pilihanraya sahaja dan jika cuba bercakap mereka akan diungkit-ungkit
dengan peruntukan bagi agama Islam itu sahaja. Tetapi apabila diatas
pentas berapi-api berucap mengaku sebagai parti 'multiracial' hanya
kerana kehadiran seorang bukan Melayu yang memilih untuk menjadi Melayu
dengan menggunakan nama Melayu dan beragama Islam.
Semua yang dikatakan oleh pimpinan mana-mana parti dan pihak semuanya
berunsurkan ‘political intrigue’ terhadap sesama pemimpin dan permainan
politik ‘inter-party’ dikalangan barisan pembangkang dan dalam isu ini
BN nampak lebih terbuka di antara parti-parti komponennya.
Didalam PR perhubungan di antara parti-parti didalamnya terpaksa
dilalui dengan penuh ranjau dan memerlukan kesabaran. Dalam berjanji
setia mereka, ada parti yang membawa isu nama ‘Allah’ dan isu yang di
sebutnya itu menyebabkan PAS terpaksa berkedudukan ‘defensive’ dan tidak
dapat menyelesaikan isu itu dengan pengundi-pengundi di desa-desa
tempat di mana PAS diperuntukan banyak kerusi dalam PRU yang lalu.
Walaupun PAS bersabar diperingkat pimpinannya dengan parti yang saya
maksudkan tadi, tetapi rata-rata ahli-ahli parti Islam itu diperingkat
akar umbi ternyata kecewa kerana tidak dapat menahan ombak permainan isu
itu oleh UMNO dan BN. Akhirnya bukan sedikit jumlah ahli PAS sekarang
percaya sebusuk-busuk UMNO itu ada juga bau Melayu dan Islam nya.
Itu sebabnya akhir-akhir ini blog ini dengan disokong oleh beberapa
pihak memberikan pandangan agar permainan ‘partisan politics’ ini
dihentikan dan buat sementara ini kita fokuskan untuk mencari orang
yang boleh memainkan peranan membangun persepaduan di antara kaum, yang
merupakan perjuangan ‘ultimate’ negara ini sejak merdeka dahulu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan