Sabtu, 28 Disember 2013

Anwar, Karpal mengadu terus kepada AG selepas polis tidak bertindak

OLEH V. Anbalagan PENOLONG PENGARANG BERITA




Setelah berputus asa dengan pihak polis, Karpal Singh (gambar) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah merujuk terus kepada Tan Sri Abdul Gani Patail tentang status laporan mereka terhadap calon Barisan Nasional Permatang Pauh, Mazlan Ismail lima bulan lalu.

Kedua-dua laporan yang difailkan di ibu pejabat polis Petaling Jaya terhadap Mazlan yang mendakwa beliau menerima lebih daripada 6,000 surat tanpa nama yang menyatakan bahawa Anwar telah memberi Karpal RM50 juta sebagai yuran guaman dan  untuk merasuah pihak pendakwaan dan badan kehakiman.

Karpal berkata beliau menghantar surat kepada Peguam Negara hari ini bagi mengetahui status laporan mereka yang dibuat pada 4 Ogos.

"Kami tidak akan membiarkan perkara ini. Kami mahu Gani, yang juga pendakwa raya memberitahu kita apa yang sedang berlaku," katanya kepada The Malaysian Insider.

Peguam kanan itu berkata sebagai pengadu, mereka bergantung kepada peruntukan dalam Kanun Prosedur Jenayah untuk menuntut hak-hak mereka bagi memastikan mereka sentiasa dimaklumkan mengenai perkembangan kes itu.

"Polis masih belum hubungi kami untuk merekodkan sebarang kenyataan dan saya cenderung untuk percaya bahawa tiada sebarang siasatan telah dimulakan," katanya lagi.

Karpal berkata, beliau sebelum ini telah menulis kepada pegawai  polis yang bertanggungjawab bagi daerah Petaling Jaya tetapi tiada jawapan .

"Sekurang-kurangnya, saya mengharapkan pihak polis memaklumkan kami berhubung siasatan terhadap aduan itu," katanya.

Beliau berkata, pihak polis dan pendakwa raya mesti bertindak sewajarnya  dan segera terhadap semua laporan kerana dakwaan yang dibuat agak serius, terutama terhadap badan kehakiman dan Pejabat Peguam Negara.

Pada 4 Ogos lalu, Anwar dan Karpal membuat laporan polis terhadap Mazlan dan media arus perdana.

Kedua-dua tokoh pembangkang mendakwa mereka difitnah berhubung kandungan 6,000 surat tanpa nama yang didakwa dihantar ke rumah Mazlan itu.

Mazlan memberitahu pemberita pada 3 Ogos bahawa lebih daripada 6,000 surat itu dihantar ke rumahnya mendakwa Anwar membayar Karpal lebih RM50 juta sejak 2008 untuk yuran guaman dan rasuah kepada hakim-hakim dan pendakwa.

Karpal berkata Mazlan sepatutnya membuat laporan polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berbanding membawa hal berkenaan kepada media arus perdana.

Beliau berkata adalah jelas ia menunjukkan bahawa Mazlan dan beberapa media telah melakukan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan, Akta Hasutan dan Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

"Saya jangka Gani akan memberi perhatian khusus terhadap kes ini kerana Mazlan telah membabitkan badan kehakiman dan pegawai-pegawai beliau," katanya.

Sementara itu, Karpal berkata beliau akan memfailkan saman fitnah terhadap Mazlan, Utusan Malaysia dan TV3 minggu depan.

"Saya telah menghantar surat meminta penjelasan tetapi mereka tidak memenuhinya. Saya akan meneruskan untuk mendapatkan keadilan melalui mahkamah," kata beliau.

Tiada ulasan: