Sabtu, 28 Disember 2013

Penduduk Taman Permata 'rai' 200 hari dalam khemah

 

 
 
Penduduk rumah pangsa Taman Permata Dengkil yang tinggal di dalam khemah bermula 11 Jun lalu selepas kediaman mereka retak semalam 'meraikan' hari ke-200 berbuat demikian, malam tadi.

Mereka juga sekali gus meraikan Anugerah Hak Asasi Manusia 2013 yang diberikan oleh NGO hak asasi, Suara Rakyat Malaysia (Suaram), kepada penduduk di situ pada awal bulan ini.

"Sudah lebih dua bulan kita tinggal di dalam khemah dan malam ini kita akan adakan sedikit jamuan bagi memperingati perkara ini.

"Kita ini sekarang duduk di dalam khemah, jadi tak dapatlah nak buat besar-besaran.

"Kita juga akan tunjukkan sijil yang kita dapat dari Suaram pada 10 Disember lalu kepada penduduk dan wakil media," kata ahli jawatankuasa penduduk rumah pangsa Taman Permata Dengkil, Ramadass K kepada Malaysiakini semalam.

Suaram sebelum ini memberikan Anugerah Hak Asasi Manusia 2013 kepada penerima bersama iaitu pasukan petugas menentang pembinaan Empangan Kaiduan dan penduduk Taman Permata Dengkil.

Kemelut penduduk di Blok 5, rumah pangsa itu bermula apabila rumah yang disediakan kerajaan buat mereka didapati retak dan dikhuatiri akan roboh pada bila-bila masa.

Mereka adalah pekerja ladang di sekitar Putrajaya yang bersetuju untuk dipindahkan buat sementara waktu ke perumahan tersebut - sementara menanti rumah teres untuk mereka siap dibina - sewaktu Putrajaya dijadikan pusat pentadbiran negara.

Masalah mula tercetus apabila penduduk mendakwa kerajaan tidak memenuhi janji untuk membina rumah teres itu dan pada masa sama, kediaman mereka sekarang sudah tidak selamat untuk dihuni.

Kerajaan Persekutuan bagaimana pun mendakwa mereka masih menunggu jaminan peruntukan tanah daripada kerajaan Selangor untuk membina rumah teres tersebut.

Namun, kerajaan Selangor pula mendakwa mereka bersedia memberikan sebidang tanah kepada kerajaan Persekutuan untuk tujuan berkenaan dengan syarat, kerajaan Persekutuan memberi jaminan ia akan digunakan untuk tujuan itu dan tidak akan diniagakan kepada pihak lain.

Tiada ulasan: