Isnin, 30 Disember 2013

Selangor bangun sektor pertanian, jalin rangkaian kerja bersama Nestle

Oleh : NORHAYATI UMOR


TANJUNG SEPAT,: Syarikat dari Switzerland, Nestle akan mengemukakan cadangan rangkaian kerja dengan kerajaan negeri dalam sektor pertanian bermula minggu ini.

Exco Pertanian dan Pembangunan Desa, Sallehen Mukhyi, berkata pihaknya akan mula membincangkan rangkaian kerja membabitkan Nestle dan masyarakat kampung itu.

Baru-baru ini, kerajaan negeri menjalin kerjasama dengan Nestle untuk menjadikan Selangor sebagai hub peringkat Asia Tengah dalam sektor pertanian.

Sallehen Mukhyi

Sallehen berkata, pemilihan Nestle dibuat ekoran kejayaan syarikat yang berasaskan produk makanan itu memperoleh pendapatan tinggi walaupun sekadar mengusahakan tanah seluas 10 hektar.

Katanya, 20 peratus sahaja yang diperlukan bagi memenuhi keperluan dalam negara sementara selebihnya dieksport ke luar negara daripada hasil perusahaan Nestle itu nanti.

“Walaupun 10 hektar, tetapi pendapatan syarikat itu sama dengan pendapatan tiga buah negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Thailand.

“Jadi minggu ini, Nestle akan memulakan rangkaian kerjanya. Sebagai contoh jika mereka mahu cili, jadi masyarakat kampung akan terbabit dengan penanaman cili begitu juga dengan pengeluaran lain.

“Jadi pengusaha tempatan tidak akan membazirkan walau seinci tanah yang dimiliki bagi mendapat hasil yang baik,” katanya dalam ucapan perasmian di Karnival Mesra Rakyat, di Pantai Kampung Batu Laut, di sini, semalam.

Selain itu, Sallehen memaklumkan kerajaan negeri sudah meluluskan pewartaan kira-kira 404 haktar tanah di kawasan Tanjung Sepat sebagai zon pertanian.

“Ia penting untuk meletak zon bagi kawasan terbabit supaya memastikan kawasan pertanian itu kekal dan masyarakat kampung boleh menjalankan aktiviti pertanian,” katanya.-NFN-

Tiada ulasan: