Sabtu, 28 Disember 2013

20 pelajar terima sumbangan PAS Sepanggar



 MOHD KHAIRUDDIN DAUD 


KOTA KINABALU: PAS Kawasan Sepanggar telah menyampaikan sumbangan berbentuk beg dan peralatan sekolah kepada 20 orang murid sekolah rendah bertempat di Kampung Likas, Sepanggar, semalam.

Majlis tersebut merupakan siri pertama penyampaian sumbangan dalam jelajah Program Back To School anjuran PAS Kawasan Sepanggar.

Menurut Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Sepanggar, Asfar Akbar, beg dan peralatan sekolah yang disampaikan itu adalah hasil sumbangan daripada orang ramai.

"Alhamdulillah, program siri pertama telah berjaya kita laksanakan. Sumbangan dana daripada orang ramai amat menggalakkan sejak kita melancarkan tabung sumbangan dana pada 20 Disember lalu. Terima kasih saya ucapkan kepada para penyumbang.

Menurutnya lagi, penerima sumbangan terdiri daripada murid-murid yang kurang berkemampuan di sekitar Kampung Likas.

"Kita dapati, masih ramai anak-anak kita yang kurang berkemampuan di sini dan sangat memerlukan sumbangan. Maka, kita di peringkat PAS mèngambil inisiatif ini bagi meringankan beban ibu bapa,” tambahnya.

Turut menyampaikan sumbangan ialah Ketua Pemuda PAS kawasan, Abdillah Matlin.

“Jelajah Program Back to School selepas ini akan ke Kampung Padas dan berakhir di Kampung Unngun. Insya Allah program ini akan berakhir dengan satu mini karnival pada hari ahad ini," kata Abdillah.

Tiada ulasan: