LAZIMNYA seorang murid akhirnya akan menjadi lebih baik daripada sifu atau gurunya.‘Common sense’ atau dalam bahasa Melayu ‘akal budi’ menyatakan seseorang anak lazimnya akan menjadi lebih baik daripada bapanya apabila mewarisi sesuatu jawatan sama.
Justeru di atas kertas dan dengan mengambil kira segala kemudahan pelbagai teknologi masa kini serta sumber ekonomi yang jauh lebih banyak dan terpelbagai, PM Najib Razak sepatutnya mampu melahirkan prestasi selaku Perdana Menteri jauh lebih baik daripada apa yang pernah dicapai oleh bapanya Allahyarham Tun Abdul Razak.
Sewaktu Tun Razak menjadi Timbalan Perdana Menteri dan kemudiannya Perdana Menteri (kedua-dua jawatan diwarisi oleh Najib kini), dengan berlatarbelakangkan pendidikan tidak relevan untuk bidang ekonomi dan kewangan, dalam keadaan tidak begitu sihat (walaupun keadaan kesihatannya dirahsiakan daripada pengetahuan awam), beliau telah mewujudkan pelbagai sumber ekonomi dan peluang untuk rakyat menikmati ‘erti kehidupan di sebuah negara merdeka’.
Mudah sahaja untuk mengapresiasi hakikat seorang anak Felda yang berjaya dalam pelajaran dan memegang jawatan penting dalam sektor awam atau swasta hari ini adalah berpunca dan berakarkan apa yang dilakukan oleh Tun Abdul Razak.
Bagaimanapun, di tangan Najib, di sebalik memiliki sedikit sebanyak asas ekonomi serta dalam suasana pentadbiran serba moden dan pendapatan negara jauh lebih tinggi yang tidak pernah diimpikan oleh Tun Razak, keadaan sudah menjadi terbalik.
Pendapatan sebenar rakyat berbanding kos kehidupan dikatakan lebih teruk daripada di zaman Tun Razak walaupun bagi golongan bukan Felda dan masyarakat bandar yang berpendidikan tinggi.
Boleh dikatakan secara menyeluruh semua harga peringkat pengguna barangan keperluan utama, bukan keperluan utama dan pelbagai perkhidmatan meningkat berganda-ganda di zaman Najib menjadi Perdana Menteri sehinggakan sebarang pertambahan dalam angka gaji dan upah tidak lagi memberi kesan positif kepada rakyat.
Ada kenaikan ketara seperti minyak di mana disedari umum.
Namun terdapat pelbagai lagi kenaikan yang hampir tidak disedari oleh kebanyakan rakyat. Misalnya minggu lalu, ketika berada di sebuah pejabat pos, seorang lelaki tua berketurunan Cina, berseluar pendek dan berkemeja lusuh mendekati sebuah kaunter dan menanyakan sama ada dia boleh membeli insurans kenderaan di pejabat pos langsung terus memperbaharui cukai jalan untuk keretanya.
Lelaki tua itu terkejut apabila diberitahu insurans yang perlu dibayarnya untuk sebuah kereta Proton Saga model lebih 15 tahun lalu melebihi RM160 setahun sedangkan bagi tahun sebelumnya premium ‘third party’ yang perlu dibayar cuma RM104 sahaja. Dia mengeluarkan beg duitnya dan menyelaknyelak wang, “Tak cukup wang.
Nanti saya telefon anak dulu…” katanya kepada pegawai kaunter.
Setelah menelefon dia duduk bersebelahan saya di tempat duduk menunggu. Dengan wajah suram dia merungut. “Haiya… Semua naik.”
“Hujan sahaja turun, kawan. Banjir pun sekarang sudah naik banyak tinggi,” saya memberikan respons sambil mengingati pelbagai barang dan perkhidmatan yang naik sejak Najib menjadi Perdana Menteri dan memikirkan tol dan bil api yang bakal naik menjelang 2014 serta pembayaran GST pada tahun 2015.
Benar betapa sembang rakyat mengenai kenaikan barangan ini adalah perkara biasa. Tetapi nampaknya di zaman Najib inilah ia bukan sahaja dilakukan saban hari dan setiap detik dan di mana sahaja oleh rakyat malah impaknya adalah sahih dan cukup membebankan.
Tidaklah diketahui sama ada Najib sedar bahawa di mata rakyat kehebatan, prestasi, kehandalan seseorang pemimpin bertaraf Perdana Menteri sebenarnya diukur berasaskan bagaimana dia dapat mewujudkan sumber ekonomi dan seterusnya mengagihkannya kepada rakyat. Jadi Perdana Menteri bukan setakat pandai bercakap dan berpidato, pandai itu dan ini tetapi paling penting pandai mensejahterakan rakyat.
Di mana-mana sekalipun seseorang Perdana Menteri dan Presiden menjadi tidak popular dan lebih lazim daripada tidak digulingkan sama ada menerusi proses demokrasi atau caracara lain apabila ia bukan sahaja gagal mensejahterakan rakyatnya tetapi semakin lama semakin menyusah dan menghimpit rakyat.
Tidaklah diketahui sama ada Najib sendiri perasan diri dan dan kerajaan BN yang dipimpinnya itu begitu popular.
Tetapi daripada raut wajahnya setiap kali muncul di skrin TV terbayang hal seperti itu. Namun hakikatnya, populariti Najib terus merudum.
Peninjauan pendapat awam terbaru yang dibuat oleh Merdeka Centre di antara 4 hingga 12 Disember 2013, selepas penghapusan subsidi minyak pada September 2013 dan selepas Najib membentangkan Bajet 2014 di mana menyaksikan kerajaan mengumumkan penguatkuasaan GST pada 2015 kelak menunjukkan populariti Najib dan kerajaan BN terus merosot daripada 62% kepada 52%. (Ketika mengambil alih jawatan Perdana Menteri dari Abdullah Badawi populariti Najib adalah 65%).
Kemerosotan Najib menurut Merdeka Centre adalah menyeluruh bagi semua kaum utama di negara ini. Walaupun melakukan aksi minum teh tarik dan meluluskan secara bidan terjun itu dan ini, kemorosotan populariti di kalangan kaum India merosot daripada 76% kepada 57%, sementara di kalangan kaum Cina (walaupun pernah memakai pakaian tradisi keturunan tersebut dan memalu gong) kedudukannya kekal pada kadar 21% setelah turun 15 mata peratus berbanding kajian sebelum ini.
Dan manakala di kalangan orang Melayu pula populariti Najib dan kerajaan terus merosot daripada 73% peratus kepada 66%.
Semua angka ini tentulah menyatakan sesuatu mengenai penerimaan rakyat terhadap Najib dan kerajaan BN pimpinan beliau.
Nampaknya segala aksi minum teh tarik, memalu gong dan mengelek bayi di pusat pemindahan banjir dan sebagainya hanyalah tidak lebih daripada latihan PR yang bersifat ‘artificial’ dan ‘superficial’. Ia tidak sama dengan imej Tun Razak yang turut bersama rakyat masuk ke dalam kolam ikan air tawar atau berbasikal dan bermotosikal untuk mendekati rakyat.
Mereka yang hidup di zaman Tun Razak begitu terasa akan keikhlasan dan ketekunan beliau memperjuangkan nasib rakyat.
Imej seorang bapa yang kasih dan sayang kepada anaknya begitu jelas.
Bertolak kepada perihal Tun Razak ini, apakah pula tanggapan dan imej rakyat terhadap Najib?
Rasanya tidak sukar untuk menjawabnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan