Sekumpulan NGO prokebebasan menganggap penggantungan mingguan The Heat oleh kerajaan menunjukkan bahawa pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai "musuh kebebasan".

Perkara itu dinyatakan dalam dalam kenyataan bersama Institut Kajian Dasar, Komunite Seni Jalan Telawi (KsJT) dan Akademi Pak Sako hari ini.

"Kami sebagai sebuah perkumpulan yang menjunjung idea kebebasan serta pembinaan sebuah masyarakat dan negara yang liberal mengecam tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggantung penerbitan akhbar mingguan The Heat.

"Penggantungan tersebut membuktikan pentadbiran Najib musuh kepada kebebasan," kata mereka.

Mereka juga menyeru pelbagai pihak bersatu membentuk "kekuatan liberal" dan mempertahan hak kebebasan yang menjadi asas penubuhan Malaysia.

"Kami berpendirian, menjadi keutamaan kepada semua kumpulan yang menjunjung kebebasan berekspresi untuk tuntas mengungkapkannya dalam apa sahaja bentuk sama ada seni budaya, politik, media dan lain-lain demi menewaskan anasir autoritarian di negara ini," katanya.

Ketiga-tiga kumpulan itu juga dengan tegas menyatakan solidariti dan dokongan terhadap perjuangan Gerakan Media Marah (GERAMM) untuk menuntut kebebasan media ekoran penggantungan akhbar itu.