SHAH ALAM - Dewan Ulama Pas menyokong sekiranya kerajaan melaksanakan cadangan untuk mengubah cara sambutan tahun baharu yang lebih kepada program keagamaan.
Ketuanya, Datuk Harun Taib berkata, bagus jika mahu mengadakan solat hajat, doa selamat dan sebagainya tapi jangan hanya sekadar berdoa kerana perlu seiring dengan amalan seharian.
“Tiada gunanya jika hanya tahu berdoa, tapi sebaliknya tetap lakukan keburukan kepada negara dengan menaikkan kos taraf hidup rakyat dan sebagainya,” katanya, semalam.
Menurutnya, sekalipun jika kerajaan bersetuju dengan cadangan itu, ia patut dilaksanakan semua negeri supaya dapat diselaraskan.
“Jika setuju boleh bincang dengan menteri besar atau ketua menteri supaya dapat selaraskan sambutannya yang berbentuk keagamaan.
“Seeloknya kalau boleh dibuat perkara sama untuk apa-apa sambutan supaya dapat mendidik rakyat dekat dengan agama Islam,” ujarnya.
Dalam pada itu, kata beliau jika seseorang faham dengan sambutan tahun baharu mengikut Islam, pastinya kemeriahan yang disambut adalah berlandaskan ajaran agama.
“Kalau kita lihat daripada sudut agama, jika kita masih boleh sambut tahun baharu bermakna ALLAH bagi kita panjang umur dan pastinya cara bersyukur adalah dengan membebaskan diri daripada perkara yang tidak elok.
“Itu yang boleh kita katakan sebagai menyambut tahun baharu, perlu mengikut syariat ALLAH bukan mengikut syariat penjajah,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan