Isnin, 30 Disember 2013

Kisah mangsa ‘guruji’ dibukukan

 
Proses awal membaca buku catatan ini mendedahkan pelbagai perkara yang menarik dan memeranjatkan. 




Saya sedang membaca sebuah buku Bahasa Inggeris mengenai “guruji”. Kebetulan, sejak belakangan ini, amat hangat pula berita di akhbar Tamil dan portal berita dalam talian – khususnya Free Malaysia Today – mengenai seorang individu yang dikenali sebagai “Datuk Seri Guruji”.

Pada 19 Disember 2013, semasa saya sedang bercuti di Hat Yai, Thailand, akhbar Tamil Malar khabarnya membuat “pendedahan” mengenai V Balakrishnan (Datuk Guruji) dan Rajayoga Power Transcendental Meditation Centre (RPT) milik dia dan isterinya.

Beberapa kisah yang menggemparkan mengenai Datuk Guruji dan beberapa “guruji” palsu juga hangat disebarkan dan didedahkan secara berani oleh pengguna laman rangkaian sosial. Demikian apa yang saya sempat baca secara sekali lalu.

Berikutan pendedahan oleh akbar Tamil Malar, khabarnya RPT mahu mengemukakan saman; manakala pihak akhbar itu pula bersedia bertemu di mahkamah.

Saya mendapatkan maklumat ini di akhbar Tamil Malar (25 Disember 2013) kerana secara kebetulan terdapat berita mengenai “Solidariti Kampung Chetti” pada 29 Disember 2013 disiarkan di muka depan akhbar sama.

Sebelum ini, saya ada menulis “Kisah Datuk Guluji” (FMT, 2 Disember 2013) berdasarkan maklumat daripada beberapa individu. Untuk rekod, saya menegaskan kepada rakan-rakan yang bertanya: Kisah yang saya tulis adalah mengenai suatu watak rekaan dan tiada kaitan dengan Datuk Seri Guruji atau mana-mana “guruji” palsu.

Suatu perhimpunan besar-besaran sedang dirancang di Batu Caves pada 5 Januari 2014; seperti dilaporkan di Tamil Malar (25 Disember 2013) dan FMT (26 Disember 2013). Nampaknya sudah ada bangkitan dalam kalangan masyarakat.

Gnanavallal Paranjothi Mahan sebagai pengasas



Tentu sahaja saya kurang berminat menyertai mana-mana perhimpunan besar-besaran. Perhimpunan terakhir yang saya hadiri adalah semasa Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) mengumpulkan NGO Melayu di perkarangan Rumah Gapena pada 15 Januari 2011 bagi ‘membantah tindakan membantah’ novel “Interlok: Edisi Murid” (2010) dijadikan teks Komsas di sekolah.

Berbalik kepada buku yang sedang saya baca. Ia masih juga berkaitan “guruji”. Thilagavathy Marimuthu menceritakan secara ikhlas dan terbuka akan pengalamannya terjerumus ke dalam sindiket penipuan bertopengkan “guruji” dan bagaimana beliau berjaya menyelamatkan diri hampir dua dekad kemudian.

Buku kecil “What Good Are Gurus When Truth Is Absent” (2013) setebal 88 halaman ini diterbitkan oleh Universal Peace Sanctuary (UPS) Pulau Pinang, iaitu cawangan rasmi UPS India yang diasaskan oleh Gnanavallal Paranjothi Mahan (GPM).

Nama GPM amat penting apabila memperkatakan mengenai “guruji” (huruf kecil disengajakan supaya pembaca tidak terkeliru dengan “Datuk Seri Guruji” atau “Datuk Guluji”) yang terdapat di Malaysia.

GPM lahir pada 2 Mei 1900, mencapai tahap “Tantrik Yoga” pada 7 Januari 1938, mencapai tahap “Guruji” pada 7 Julai 1938 dan meninggal dunia pada 7 Januari 1981. UPS pula diasaskan di Chennai, Tamil Nadu, India pada 29 Julai 1946.

Buku kecil ini dimulakan dengan kisah mengenai GPM sebelum membawa kepada peristiwa bagaimana Thilagavathy dan sekumpulan pengikut menjadi mangsa penipuan “guruji” yang mengaku dirinya pengikut dan penerus tradisi ajaran GPM.

Thilaga tertipu lapan belas tahun!



Guru Paranjothi Sitarasu mengakui bahawa selepas GPM meninggal dunia (1981), bagi setiap seorang “guruji” asli yang tampil membantu orang ramai, lahir pula sekitar 10 “guruji” palsu yang memanipulasi ajaran sebenar GPM untuk kepentingan peribadi dan material.

Salah seorang individu yang turut menjadi mangsa penipuan “guruji” palsu di Malaysia ialah Guru Paranjothi Ramakrishnan. Beliau dan Thilagavathy sama-sama menjadi mangsa penipuan selama hampir dua dekad sebelum sama-sama mendapat petunjuk untuk “menyelamatkan” diri.

Ramakrishnan menyifatkan “What Good Are Gurus When Truth Is Absent” sebagai sebuah buku yang mendokumentasikan secara terperinci dan ikhlas pengalaman individu yang pernah tertipu tetapi akhirnya berjaya mendapat cahaya kebenaran.

Ternyata bidang spiritual – khususnya dalam kalangan kaum India beragama Hindu di Malaysia – adalah suatu perniagaan yang mampu memberikan pulangan yang amat lumayan. Mungkin mampu menjadi lebih kaya berbanding politikus!

Sekadar contoh, dalam “Kisah Datuk Guluji” (FMT, 2 Disember 2013) diceritakan bagaimana setiap peserta sesi meditasi membayar “pengeras” daripada RM730 sehingga RM3,300 untuk mendapatkan “rahmat” daripada Datuk Guluji (bukan nama sebenar). Bayaran itu pula wajib secara tunai dan tidak ada sebarang resit dikeluarkan.

Guru Paranjothi Jason yang turut menulis prakata pada buku ini menyebut tentang buku “I-God” (Naan Kadavul) tulisan GPM. Buku itu sepatutnya menjadi panduan wajib bagi mana-mana “guruji” dan pengikut yang mengamalkan Kundalini Yoga.

Mengembara mencari jawapan di India

Malangnya, menurut Jason, ramai pengikut yang berjaya dipujuk oleh “guruji” supaya hanya menurut secara membabi buta segala kata-kata, ajaran, perintah dan permintaan si “guruji” palsu itu sahaja.

Lama-kelamaan, ajaran sebenar GPM yang terkandung dalam “I-God” sudah dilupai dan golongan “guruji” – termasuk “Datuk Guluji” – menjadi penipu besar yang mampu memanipulasi orang ramai supaya menyerahkan jiwa raga, maruah, harta benda dan nasib keluarga pada tapak kaki mereka.

Kemunculan buku “What Good Are Gurus When Truth Is Absent” dilihat sebagai usaha positif membawa kembali perhatian orang ramai kepada ajaran sebenar GPM. Thilagavathy mengakui bahawa buku “I-God” menjadi rujukan utama dalam menghasilkan buku ini.

Penulis menceritakan secara terperinci bagaimana pada September 2012 – hampir dua dekad selepas menjadi mangsa “guruji” palsu – beliau berjaya menjejakkan kaki ke UPS di Chennai.

Di sana, beliau bertemu Guru Nooruddin, cucu GPM. Rupa-rupanya, selepas GPM meninggal dunia, UPS dikendalikan oleh Guru Jani Basha sebelum tugas diamanahkan kepada Nooruddin.

Selain daripada berpeluang mendengar kisah sebenar mengenai ajaran GPM, penulis juga sempat bertemu keluarga mendiang. Tempoh lima hari di Chennai berjaya mengembalikan semangat dan “roh” yang hilang akibat ditipu “guruji” palsu selama 18 tahun di Malaysia.

Bacaan wajib bagi pengikut setia

Sesudah itu, Thilagavathy memulakan pengembaraan peribadi mendalami ajaran sebenar GPM, khususnya menerusi “I-God”. Wajar dinyatakan bahawa “I” pada judul itu bukan merujuk kepada “saya/aku” tetapi “anu” (atom).

Penulis juga mula mengenali beberapa individu lain yang pernah menjadi mangsa penipuan “guruji” palsu di Malaysia dan Singapura. Agak menarik kerana rata-rata “guruji” palsu itu memanipulasi ajaran sebenar GPM dengan niat mengaut keuntungan selain menjadikan diri mereka umpama dewa yang perlu disembah.

Thilagavathy tidak mendedahkan siapakah “guruji” palsu yang menipunya selama 18 tahun sehingga beliau kerugian begitu banyak wang dan harta. Namun, apa yang pasti, “guruji” berkenaan masih aktif meneruskan manipulasi di negara ini.

Kisah penulis menjadi mangsa selama hampir dua dekad dan kemudian menemui cahaya kebenaran pasti boleh menjadi panduan berguna kepada orang ramai yang pernah menjadi mangsa penipuan “guruji” palsu.

Malah, mereka yang masih menjadi pengikut setia dan pemuja tegar “guruji” (huruf kecil) juga wajar membaca buku ini yang boleh dibeli dari UPS Pulau Pinang atau terus daripada penulis.

Para pengikut boleh melakukan semakan spiritual, sama ada “guruji” mereka benar-benar asli atau sekadar kapitalis yang menggunakan Kundalini Yoga, meditasi, silap mata, kemampuan memakan mentol dan manipulasi licik untuk menjadi jutawan segera.

Uthaya Sankar SB adalah kolumnis FMT dan bukan pengikut mana-mana “guruji’ atau “guluji”.

Tiada ulasan: