Isnin, 30 Disember 2013

Jingga 13 juga mahu saman Amar Singh

 

 

Satu lagi NGO, Jingga 13, turut merancang untuk mengemukakan saman ke atas Datuk Amar Singh Ishar Singh sekiranya timbalan ketua polis Kuala Lumpur itu enggan menarik balik tuduhan yang mengaitkan pertubuhan tersebut dengan rancangan menimbulkan kekacauan pada malam 31 Disember.

Timbalan Koordinator Jingga 13, Amizudin Ahmat berkata tuduhan tersebut berniat jahat, berunsur fitnah yang melampau serta tidak masuk akal sama sekali dan bertujuan mengalih isu besar mengenai bantahan kenaikan harga barang.

"Jingga 13 tidak pernah sama sekali mengeluarkan sebarang kenyataan atau arahan kepada mana-mana pihak sama ada melalui apa jua instruments merancang untuk mengadakan kekacauan, apa lagi bersabit penggunaan senjata atau bom bagi tujuan mengguling kerajaan," katanya.
Amizuddin ditemui selepas beliau selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi hari ini.

Laporan polis tersebut mendesak pihak polis mengemukakan bukti bahawa Jingga 13 terlibat dengan segala pertuduhan yang dibuat.

Amizudin berkata Jingga 13 juga merancang untuk mengemukakan saman ke atas akhbar Utusan Malaysia dan stesen TV3 berhubung tuduhan sama.

"Jingga 13 tegas menyatakan bahawa segala tuduhan jahat yang dikaitkan dengan kami adalah berupa fitnah serta bertujuan memburukkan imej kami serta bertujuan menakut-nakutkan rakyat dengan isu kekacauan, huru hara, senjata dan bom tangan," kata beliau.

Semalam, Amar Singh mengumumkan empat NGO telah dikenalpasti dalang untuk mengadakan kekacauan dan himpunan gulingkan kerajaan pada malam 31 Disember depan.

Kumpulan tersebut adalah Jingga 13, Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).

SAMM telahpun menyatakan bahawa mereka akan menghantar notis saman kepada Amar Singh Isnin ini.

Tiada ulasan: