Selasa, 31 Disember 2013

Himpunan 31 Disember simbol rakyat ditindas



Oleh WAN AMIR WAN AZIZ


Pemimpin bersifat ultra kiasu kini semakin jelas takut kepada anak suara anak muda kerana mereka yakin anak muda mahu satu perubahan dalam pengurusan dan pentadbiran ekonomi negara yang lebih telus dan efisien.

Oleh sebab itu, media massa pro kerajaan memainkan watak utama memutar-belit isu himpunan perhimpunan rakyat selepas tindakan kerajaan menaikkan pelbagai harga barangan dan perkhidmatan selepas PRU13.

Himpunan aman membantah peningkatan kos sara hidup 31 Disember ini sudah jelas dengan matlamatnya menuntut supaya tidak berlaku kenaikan harga barang.

Tidak ada sama sekali istilah mahu mengulingkan kerajaan. Golongan muda masih menghormati keputusan PRU13.

Saban tahun kerajaan menyatakan jumlah pelaburan yang masuk ke negara ini tetapi rakyat tidak merasai makna di sebalik pelaburan masuk yang didakwa melimpah-ruah itu.

Ini menyebabkan rakyat tidak yakin dengan pentadbiran ekonomi negara. Lebih menyedihkan apabila kerajaan tidak pernah memberi jawapan dan harapan kepada rakyat.

Rakyat sudah sedia maklum apabila harga barangan asas dan harian mulai naik, barangan dan perkhidmatan lain juga tetap naik atau pun harga sama tetapi kuantiti berbeza.

Hal ini cukup membebankan rakyat terutama golangan berpendapatan rendah dan kelas pertengahan.

Ini cukup jelas pendapatan isi rumah tidak seimbang dengan kenaikan harga barang walaupun kenaikan itu satu persatu tetapi dalam tempoh yang singkat ia menjadi kenaikan yang drastik dan radikal kepada rakyat.

Himpunan menuntut kerajaan menurunkan harga barangan ini sebenarnya simbol rakyat terbeban dan tertindas kerana kenaikan harga barang dan sifat boros dan tiris pemimpin.

Jom anak muda, kita bantah kenaikan harga barang.

(*)  Penulis ialah bekas Pengerusi Transformasi Mahasiswa Universiti Utara Malaysia (TMUUM).

Tiada ulasan: