Isnin, 30 Disember 2013

SPRM: Kuasa siasat harta tidak sepadan pendapatan

Post Pic



PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengalu-alukan pandangan meminta SPRM menyiasat kes pemilikan harta kekayaan yang berlebihan dan yang tidak sepadan dengan pendapatan yang diperoleh oleh seseorang individu.

SPRM pernah mengetengahkan keperluan untuk mengadakan peruntukan itu.

Malah, perkara yang sama telah disyorkan oleh badan panel yang memantau perjalanan SPRM iaitu Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) dan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), yang dianggotai oleh ahli-ahli Parlimen dari Barisan Nasional, DAP, PKR dan PAS.

SPRM dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini menyatakan laporan terbaru JKMR yang dikeluarkan awal bulan ini, antara lain menyebut, Seksyen 36 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 perlu dipinda bagi membolehkan seseorang individu mengisytiharkan kewangan atau harta benda tanpa ada siasatan awal dibuat terlebih dahulu.

Selain itu, tambah kenyataan itu, JKMR juga menyebut bahawa "JKMR dan juga masyarakat melihat isu ini sebagai satu kekangan kepada kerajaan dan SPRM untuk membanteras rasuah dengan berkesan kerana didapati terdapat sesetengah anggota pentadbiran ataupun penjawat awam mempunyai harta kekayaan yang berlebihan dan tidak sepadan dengan pendapatan yang diperoleh".

Menurut kenyataan itu lagi, pada hakikatnya, walaupun siasatan pemilikan harta tidak sepadan dengan pendapatan bukan fungsi SPRM sepenuhnya, SPRM mengalu-alukan jika perkara itu dimasukkan dalam senarai pindaan Akta SPRM 2009 yang bakal dibawa ke Parlimen pada tahun depan.

Tiada ulasan: