Rafizi Ramli  
Rafizi Ramli


SHAH ALAM - PKR hari ini menggesa polis menyiasat empat blog atas dakwaan menyebarkan emel palsu bertujuan mencetuskan huru-hara.

Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli berkata, aduan polis telah dibuat ke atas blog yang didakwa pro Umno, yang menggunakan alamat theunspinners.blogspot.com, theflyingkick.blogspot.com, bidaman.blogspot. com serta badutrakyat.blogspot.com.

Penyebaran emel palsu itu kata Rafizi, menyebabkan beliau disiasat polis semalam.

Ahli Parlimen Pandan itu juga mendakwa, emel palsu mengenai rancangan untuk memasang bom di beberapa tempat di Kuala Lumpur yang kononnya dialamatkan kepadanya itu direka oleh blogger berkenaan.

"PDRM tanpa menyemak terlebih dahulu kesahihan emel rekaan itu terus memanggil saya untuk memberi keterangan dan disiasat," ujarnya pada sidang media, hari ini.

Beliau juga kecewa apabila Polis DiRaja Malaysia (PDRM) masih belum menyatakan sama ada beliau merupakan saksi ataupun orang yang disyaki dalam siasatan ke atas sebaran emel palsu tersebut.

"Sehingga sekarang, pegawai penyiasat yang mengambil kenyataan saya tidak boleh mengesahkan sama ada saya hanya seorang saksi atau suspek," katanya.