Sabtu, 28 Disember 2013

Risiko maut dan kebejatan jenayah bila barang naik!


Oleh Dr Dzulkefly Ahmad 


Tirai 2013 bakal dilabuhkan dalam beberapa hari lagi. Namun kali ini tidak ramai yg mahu membuat azam dan cita-cita besar di ambang tahun baru ini. Sebabnya mudah.  Rakyat di negara ini sedang menghitung pelbagai ancaman kenaikan kos saraan hidup atau inflasi yang mesti mereka depani.

Kali terakhir harga petrol dan diesel dinaikkan atas nama ‘rasionalisasi subsidi’ pada bulan September lalu (2013), ‘analysts’ sebuah Bank Pelaburan (Maybank lnvestment Bank) melaporkan bahawa inflasi (CPI) melonjak paling tinggi dalam 20 bulan berbanding sebelumnya ke paras 2% pada bulan Oktober. Pantas betul.

Kalau lonjakan tersebut dicetuskan oleh hanya satu faktor yakni ketika bahan bakar itu dinaikkan 20 sen satu liter, rakyat gerun memikirkan apakah 'malapetaka dan celaka' yang bakal menimpa mereka ketika pelbagai kenaikan dilakukan serentak dan mendadak.

Tahun 2014 pastinya ‘Tahun Derita’. Golongan berpendapatan rendah, khasnya nelayan, petani serta peniaga pasar malam contohnya, yang tak ada kenaikan gaji berkali ganda, berdepan dengan prospek hidup yang sangat suram dengan hempitan kos saraan hidup yang bakal melambung. Pendapatan mereka yang tetap sama atau kalau peniaga mungkin sahaja mengecut sebab kuasa membeli rakyat mengecil akibat inflasi.

Bayangkan setelah penarikan subsidi gula pada hari yg sama Belanjawan 2014 dibentang 25 Oktober lalu, rakyat secara berdikit-dikit dengan kaedah ‘conditioning’ minda, didedah tentang kenyataan bahawa mereka akan berdepan dengan kenaikan tarif elektrik, kos pengangkutan awam, kenaikan tol di 13 lebuhraya, kenaikan 40% bas sekolah dan bayaran bulanan Astro untuk tahun depan ini.

Paling menyiksa kerana semua kebejatan ini bakal berlaku seawal Januari 2014, 8 bulan setelah 47% pengundi memandatkan kembali kerajaan Umno-BN memerintah Putrajaya. Kerajaan yang paling lama di muka bumi ini (tak termasuk kerajaan Komunis Cina) nyata sudah hilang kepeduliaan terhadap rakyatnya, semacam mengalami sejenis sindrom ‘pyschosclerosis’ – buta perut atau hilang kepekaan dan tak prihatin penderitaan rakyat atau dalam bahasa Ingeris ‘hardening of feelings’.

Sudah sampai waktunya juga 53% pengundi-rakyat yang menolak kerajaa Umno-BN ini wajar bangkit bersama masyarakat sivil (NGOs) dari pelbagai latar-belakang, untuk menentang kezaliman ini. Pembayaran BRIM nyata tidak bererti kalau ‘untung secupak rugi segantang’.

Ini perbuatan kerajaan Umno-BN paling biadap mentelahan baru sahaja dimandatkan semula dan telah berjanji ‘bulan dan bintang’ dalam pilihanraya ke-13 lalu. Hairan juga PM Najib naikkan tol sementara telah berjanji sebaliknya. Begitu juga halnya tentang kenaikan tarif elektrik gergasi utiliti

Tenaga Nasional Berhad atau TNB sebab baru sahaja mengisytiharkan keuntungan RM4.46 bilion dalam laporan kewangan berakhir April 2013 lalu, menambah dari RM4.41 bilion keuntungan tahun sebelumnya.

Mengapa kerajaan izinkan kenaikan ini adalah amat membingungkan. Kenaikan menasabah kalau TNB mengalami kerugian. Kerajaan  cepat-cepat membuat penjelasan bahawa kenaikan tidak akan membabit 4.6juta ketua isirumah kerana kenaikan tarif tak menjejaskan golongan domestik ini yang pengggunaannya rendah.

Nyata kerajaan ini samada benar-benar jahil atau memang jahat serta buat-buat tak faham. Rakyat umumnya sudah mulai faham bahawa yang dipertikaikan bukan kenaikan bil bulanan elektrik atau tol itu sahaja, tetapi ‘kesan rantaian’ (chain effect) ke atas pelbagai barangan dan perkhidmatan yang menggunakan bahan bakar, elektrik dan pengangkutan dan tol.

Tekanan inflasi akibat kenaikan kos terhadap barangan dan perkhidmatan ini atau “Cost-Push Inflation’ adalah sangat parah! Sesungguhna, CPI (Indek Harga Barangan) bukan ukuran beban sebenar rakyat. Ia adalah lebih tinggi dan lebih teruk. Rakyat sudah tidak dapat lagi dibendung amarah mereka. Satu lagi aspek kenaikan.     

Ya, memandangkan kadar inflasi diramalkan bakal mencecah 3.5% sehingga 4% (CPI atau Indeks Harga Pengguna) oleh pelbagai pihak ‘analysts’ Perbankan Pelaburan pada tahun 2014, maka Bank Negara Malaysia (BNM) pastinya akan menaikkan satu kadar faedah yang dinamakan ‘Kadar Faedah Semalaman’ atau ‘Overnight Policy Rate’-OPR.

Dengan kenaikan OPR maka kaedah faedah pinjaman (Average Lending Rate) akan dinaikkan oleh semua bank komersil sekaligus menjadikan bayaran bulanan pi akan pinjaman juga turut naik. Apa akan berlaku? Ramailah yang akan tersiksa dan terbeban untuk membayar ansuran yang lebih tinggi.

Lebih banyak lagi ‘Hutang Tak Berbayar atau NPL’. Lebih ramailah rakyat akan bakal muflis dan bankrap!

Impak inflasi seperti ini bukan sahaja dari aspek kewangan.  Kesan sosial ke atas keutuhan kekeluargaan apabila ibu-bapa mula membuat pelbagai kerja tambahan pastinya menjejas pelbagai aspek keharmonian keluarga dan anak-anak. Ini sudah pasti. Apa lagi? Ada lagi dan yang ini tentunya menyayat hati.

Mengikut kajian sebuah badan penyelidikan (International Association of Traffic and  Services) setiap kali bahan bakar (petrol dan diesel) naik dan inflasi tercetus golongan berpendapatan rendah akan merubah cara hidup mereka. Menteri-menteri BN tak payahlah suruh rakyat ikat perut atau suruh ambil jalan alternatif kalau tak bayar kenaikan tol sebab rakyat memang tahu sangat untuk ‘survive’.

Hanya menteri-menteri  yang boleh hidup mewah bershopping di Harold London dan bandar-bandar besar dunia semasa cuti Christmas dan Tahun Baru ini. Rakyat sudah mula ikat perut dan sedang bergelut untuk menyiapkan anak-anak hendak mula bersekolah.

Namun yang hendak didedah penulis ialah apabila rakyat marhaen bertukar dari kereta kancil dan proton saga mereka kepada menunggang motosikal untuk ke pejabat, maka di situ jugalah dapatan kajian membuktikan bahawa kadar kemalangan meningkat. Sudah umum maklumi bahawa Malaysia merupakan Negara punyai risiko kematian jalanraya tertinggi di dunia. Penunggang motosikal terdedah tiga kali ganda risiko kemalangan berbanding menaikki kereta!

Dengan kenaikan kos saraan hidup ini atau inflasi barang naik ini, rakyat Malaysia sekaligus berdepan dengan maut jalanraya. Apakah kerajaan Umno-BN sedar akan akibat perbuatan mereka menaikkan secara mendadak kesemua ini? Umno-BN memangsakan rakyat!

Satu dapatan kajian sekumpulan penyelidik USM sedikit waktu lalu (2009) juga menemui hubungan faktor inflasi dan kadar jenayah. Sayugia dingatkan kerajaan Najib dengan NKRA Jenayah serta KPInya pasti akan tercalar apabila rakyat lebih mudah menukar  kerjaya mereka atau menambah pendapatan dengan meragut, mencuri dan merompak! Dapatan menemui hakikat bahawa semasa dalam tekanan kos saran hidup yang tinggi-inflasi, kadar jenayah meningkat! Rakyat juga diheret ke kancah jenayah atau menjadi mangsa jenayah. Pencetusnya siapa?

Apakah benar tidak ada cara lain kecuali mengheret negara ke kebejatan inflasi dan kesengsaraan hidup ini dengan menarik balik subsidi-subsidi penting ini? Tun Mahathir yang baru celek pun suruh supaya kos pengurusan diturunkan bukan subsidi direntap macam malaikat maut mengambil nyawa.

Maka Najib dan konco2nya wajar berfikir panjang. Apakah mereka sanggup mengundang semua malapetaka untuk rakyat di negara ini. Menjual asset negara dan berniaga (securitise mortgages) atas pajakan pembelian rumah kerajaan memang langkah desperate. Umum akan lebih faham kalau maksudnya ialah ‘gali lubang baru untuk tutup lubang hutang lama’. Pokoknya masih berhutang untuk bayar hutang.

Sudah cemuih atau mangli dan bosan rakyat sarankan supaya lobang-lobang kebocoran ditutup dahulu, rasuah ditangani, monopoli dirungkaikan jenayah ‘kebodohan dan kebebalan’ pihak birokrasi di atasi dalam ‘perolehan’ atau ‘procurement’ seperti didesak oleh Laporan “Ketua Audit Negara” setiap tahun.

Kalau berdegil dan keras kepala juga kerajaan Najib ini, jumpa anda semua di demonstrasi  ‘TURUN’ pada 31 hb Disember. Bukan TURUN itu untuk suruh kerajaan Umno-BN turun dengan cara digulingkan. Silap itu! Patutlah ada pelajar yang ditahan kerana hendak guling kerajaan.

Turun itu adalah kempen supaya ‘jangan subsidi ditarik dan Tol serta Tarif dinaik’. Itu maksudnya.

Sah ada pihak yang silap faham. Ini lah yang dimaksudkan dengan kata Tun Mahathir... Jangan lama-lama memerintah akibatnya lebih ramai pemimpin yang 'bodoh' mengemudi kerajaan.

Akhir sekali kalau GST mahu juga dilaksanakan pada April 2015, memanglah bagai dek kata, rakyat akan di ‘Gasak Sampai  Tumbang’. Tapi tak tahu kali ini siapa yang benar-benar akan Tumbang?

Cuma hari ini penulis ingatkan kerajaan Najib-BN, belum pasti siapa yang bakal Tumbang pada PRU14. Jangan terlalu angkuh setelah mengemis dan mendapat sokongan 47% sokongan rakyat! -

Tiada ulasan: