KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda MIC Kebangsaan meminta kerajaan membuat kajian terperinci dengan mengambil kira pandangan rakyat akar umbi sebelum memuktamadkan sebarang kenaikan kadar tol lebuh raya.
Ketuanya, C. Sivarraajh (gambar) berpendapat kerajaan perlu mencari mekanisme lain yang lebih efektif terutama dalam menyelesaikan isu pembayaran kos perjanjian antara kerajaan dan syarikat konsesi lebuh raya.
"Pemuda MIC Kebangsaan memohon supaya kerajaan yang prihatin ini mengenal pasti alternatif lain dalam menyelesaikan masalah kenaikan tol selaras dengan jaminan (sebelum ini) untuk mengurangkan kadar bayaran tol antara bandar secara berperingkat," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Sivarraajh berkata mulai 4 Jan depan, Pemuda MIC akan menggerakkan satu jawatankuasa khas di setiap bahagian sebagai pemudah cara bagi rakyat terutama kaum India membuat permohonan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
Menurutnya, jumlah pemohon bagi bantuan itu terutama dalam kalangan masyarakat India kurang memuaskan akibat masalah teknikal.
"Pemuda MIC mengambil tindakan proaktif untuk pastikan mereka yang layak berpeluang merasai bantuan yang disediakan kerajaan ini.
"Kita akan bantu pemohon secara terperinci bermula dari saat borang diedarkan, bagaimana mengisinya sehingga ia dihantar sama ada secara manual atau elektronik," katanya.
Permohonan BR1M dibuka bermula Isnin lepas hingga 31 Jan 2014. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan