Sabtu, 28 Disember 2013

MTEM selar Petronas kerana ketepikan syarikat Bumiputera

THE MALAYSIAN INSIDER


















Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menyelar syarikat gergasi minyak terbesar negara Petronas yang dilihat terus menerus mengenepikan usahawan Bumiputera dengan pemberian projek kepada syarikat perniagaan asing.

MTEM yang mendapat dana awal daripada Perdana Menteri itu mendakwa, wujudnya manipulasi dalam penawaran kontrak terbesar SK316 daripada Petronas yang bernilai RM1 bilion yang diberikan kepada syarikat Perancis, Technip dan rakan usahasama mereka iaitu Malaysia Marine Heavy Engineering (MMHE).

Tambah mengejutkan apabila syarikat Technip itu dikatakan enggan menawarkan syarikat tempatan untuk bekerjasama dalam projek tersebut sebaliknya hanya akan menawarkan kepada syarikat berstatus pengeluar sahaja.

"Projek yang bernilai RM1 billion ini adalah bagi kerja kerja kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan, pemasangan dan pentauliahan (EPCIC) sebagai salah satu daripada projek penting tahun ini selepas Projek Malikai, Sabah.

"Bagaimanapun syarikat ini enggan untuk berkongsi dengan apa diperoleh dari Petronas yang sepatutnya membantu usahawan Bumiputera," kata MTEM dalam satu kenyataannya hari ini.

Malah MTEM juga turut mendakwa pembidaan projek blok terbesar SK316 diperoleh atas tiket rakan usahasama mereka di negara ini iaitu MMHE.

MTEM pada masa sama membidas Petronas yang memberikan tanggungjawab untuk memutuskan hak perolehan kepada Technip memandangkan syarikat tersebut juga merupakan entiti perniagaan asing.

Pada masa sama MTEM juga mempersoalkan alasan Petronas yang kononnya berkata syarikat tempatan lebih layak untuk projek kecil walhal hakikatnya usahawan Bumiputera juga dikekang untuk mendapatkan manfaat tersebut.

"Trend yang sama tetap berlaku apabila kami masih dihalang daripada menyertai pembidaan tender untuk projek berskala kecil seperti yang telah berlaku di Sepat dan Berantai.

"Segala urusan tender telah di rus oleh syarikat Petrofac yang memanipulasi proses perolehan dan akhirnya dimenangi sebuah syarikat asing dari India," kata MTEM.

Sebelum ini Projek Malikai yang bernilai RM2.4 billion yang telah dianugerahkan pada 2013 turut menyaksikan situasi sama kerana hampir semua syarikat tempatan yang berdaftar dengan Petronas di bawah kod SWEC (Kod Kerja Standard dan Pembuatan) untuk kerja kerja bekalan dan perkhidmatan tidak dijemput untuk menyertai pembidaan di dalam perolehan.

Tiada ulasan: