Sabtu, 28 Disember 2013

Polis didakwa cabul undang-undang bila terlibat paksa penduduk Kampung Railway berpindah

OLEH DIYANA IBRAHIM

N. Surendran bercakap pada sidang akhbar di pusat khidmat masyarakat Parlimen Batu di Kuala Lumpur berkenaan tindakan pemaju merobohkan Kampung Railway lebih awal daripada yang dijanjikan. Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 28 Disember, 2013. 
N. Surendran bercakap pada sidang akhbar di pusat khidmat masyarakat Parlimen Batu di Kuala Lumpur berkenaan tindakan pemaju merobohkan Kampung Railway lebih awal daripada yang dijanjikan. Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli



Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) mendakwa pihak polis bukan sahaja melanggar hak asasi manusia bahkan telah mencabul undang-undang apabila menggunakan kekerasan terhadap penduduk dalam isu merobohkan kampung tradisi India, Kampung Railway di Kuala Lumpur semalam.

Ahli Parlimen Padang Serai N. Surendran (gambar) berkata, tindakan polis itu sebagai menyalahgunakan kuasa dan melanggar Akta Polis 1967 yang secara tidak langsung membantu pemaju mengusir penduduk.

Surendran juga menuntut penjelasan daripada Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung isu berkenaan.

Semalam 30 buah  keluarga Kampung Railway dilaporkan telah diusir keluar daripada rumah mereka bagi memberi laluan kepada pihak pemaju merobohkan perkampungan tersebut bagi pembangunan.

Bagaimanapun keadaan menjadi tegang apabila penduduk bertindak melawan kembali dengan mendakwa pemaju melanggar perjanjian yang ditetapkan iaitu memberi masa untuk berpindah sehingga Ahad ini.

Ia menyaksikan tujuh ditahan termasuk seorang remaja berumur 16 tahun dan dua wanita.

Selain Surendran, sidang media juga turut dihadiri oleh peguam Latheefa Koya, Ahli Parlimen Batu Tian Chua , Ahli Parlimen Wangsa Maju Tan Kee Kwong  serta aktivis S. Jayathas.

Mereka mendakwa campur tangan oleh pihak berkuasa dalam perobohan kampung tersebut membuktikan satu lagi korupsi yang dilakukan kerajaan Barisan Nasional.

Surendran berkata polis hanya dibenarkan terlibat sekiranya terdapat unsur jenayah dalam insiden tersebut.

Sementara itu Ahli Parlimen Batu Tian Chua menggesa Khalid dan Zahid menyatakan apakah perlakuan jenayah penduduk di situ sehingga melibatkan campur tangan polis.

"Sekiranya penduduk disabitkan dan terletak atas arahan mahkamah sepatutnya mereka dibawa ke mahkamah bukannya kepada polis," katanya.

Pengerusi Biro Bantuan Guaman turut mendakwa polis juga tidak mempunyai hak dan telah melanggar undang-undang sekali lagi menahan remaja yang masih di bawah umur.

"Ia satu lagi perbuatan yang melanggar undang-undang apabila menahan seorang remaja bawah umur kerana itu kita berjanji usaha kita menghalang kekejaman ini akan berterusan," katanya.

Pada masa sama Tian Chua menggesa pemaju untuk memberikan pampasan sewajarnya kepada penduduk.

"Sebelum ini bukan kerana mereka enggan berpindah ke pangsapuri yang disediakan namun bentuk rumah tidak mengikut keperluan untuk sebuah keluarga oleh demikian mereka menggesa agar pengubahsuaian dilakukan.

"Kita juga menuntut pihak pemaju membayar pampasan dalam bentuk wang tunai juga, sebelum ini kita diberitahu terdapat tawaran tidak sekata yang diberikan pemaju, kenapa wujudkan isu berkenaan," soal beliau.

Tanah perkampungan Railway yang menjadi tempat tinggal bagi lima generasi itu telah dijual kepada syarikat YTL Corp Berhad pada tahun 1990.

Anak syarikat YTL, Sentul Raya Sdn Bhd yang merupakan syarikat pemaju bertanggungjawab untuk membangunkan kawasan tersebut telah menawarkan unit perumahan kos rendah di Bukit Jalil juga wang tunai sebanyak RM18,000 sebagai ganti rugi pengangkutan dalam tempoh tiga tahun sebagai pampasan kepada 100 lagi keluarga yang bersetuju untuk berpindah.

Namun 30 keluarga Kampung Railway bagaimanapun enggan menerima tawaran tersebut.

Kesemua mangsa tersebut kini dikatakan berlindung di sebuah kuil Hindu di Sentul.

Tiada ulasan: