Presiden Cuepacs Azih Muda  
Azih Muda


KOTA KINABALU - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu penjawat awam diberi kuota khas, terutama pesara, untuk menunaikan ibadah haji mulai tahun depan.

Presidennya, Azih Muda berkata, kuota khas itu bagi mengelak penjawat awam menunggu dalam tempoh yang lama selain menggalakkan lebih ramai penjawat awam menunaikan ibadat suci itu.

"Cuepacs mahu penjawat awam juga perlu diberi kouta bagi menunaikan haji, terutama mereka yang hampir bersara tetapi tidak berpeluang untuk menunaikan haji, boleh mengambil kuota ini daripada Tabung Haji," katanya dalam sidang media selepas bertemu pemimpin kongres itu di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Cuepacs Sabah Jamian Dom.

Azih berkata cadangan itu antara perkara yang diberi penekanan oleh Cuepacs bagi tempoh tiga tahun selain semakan elaun, pencen dan peningkatan tangga gaji untuk membantu kebajikan penjawat awam. 

Beliau berkata, selain kouta khas haji, kerajaan juga harus membenarkan penjawat awam yang berusia 55 tahun mengeluarkan 20 peratus ganjaran wang pencen mereka bagi tujuan tertentu, termasuk umrah dan haji serta perubatan dan bayaran pendidikan anak-anak.

"Cuepacs juga mencadangkan formula ganjaran persaraan penjawat awam disemak semula kepada 10.5 peratus daripada tempoh perkhidmatan sebelum ini iaitu 7.5 peratus," katanya.

Selain itu, Cuepacs mencadangkan agar Gantian Cuti Rehat (GCR) penjawat awam yang tidak dapat menghabiskan cuti atas sebab perkhidmatan ditambah daripada 150 hari kepada 180 hari, dan jika masih ada cuti tahun terakhir semasa persaraan, ia perlu dibayar dengan wang tunai dalam sekali bayaran sahaja.

Beliau berkata, Cuepacs juga akan memastikan tangga gaji untuk semua jenis jawatan dalam perkhidmatan awam dikaji semula selain semakan semula 231 jenis elaun yang belum dikaji sejak 10 tahun lepas.

Dalam perkembangan lain, Azih meminta Jabatan Kesihatan Sabah memberi penjelasan berhubung isu tuntutan elaun pakaian seragam kakitangannya yang menimbulkan kekeliruan.

Beliau berkata, Cuepacs menerima aduan berkaitan arahan meminta kakitangan jabatan itu membayar balik baki elaun tempahan pakaian seragam pada 2011, tahun lepas dan tahun ini.

Azih berkata, menerusi pekeliling yang dikeluarkan sebelum ini, kakitangan jabatan itu dibenar membuat tuntutan tempahan pakaian seragam sehingga RM690 setahun untuk tiga pasang pakaian.

"Bagaimanapun, pada September lalu, jabatan berkenaan mengeluarkan arahan meminta kakitangan membayar baki elaun berdasarkan kadar jahitan ditetapkan Pejabat Kesihatan di seluruh negeri, dan jika gagal, mereka dikenakan tindakan tatatertib," katanya. - Bernama