Berita kenaikan kos sara hidup seperti kenaikan harga minyak, barangan harian, tarif elektrik dan kenaikan konsesi tol yang bakal dilaksanakan pada Januari 2014 mencetuskan satu fenomena rakyat yang menolak tindakan kerajaan itu.
Hal ini dapat dibuktikan dengan hasil kajian dari Pusat Kajian Demokrasi dan Kajian Pilihanraya Universiti Malaya (UMcedel) terhadap 1,676 responden di Semenanjung Malaysia pada 6 hingga 8 Disember 2013.
Kajian tersebut mendapati 42% responden beranggapan kenaikan harga minyak memberikan kesan kepada kehidupan mereka diikuti 34% kenaikan harga barang, dan kenaikan kadar tarif elektrik sebanyak 24%.
Tambahan pula jawapan serta respon tidak bertanggungjawab yang dibuat oleh menteri-menteri seakan menampakkan kurang cerdiknya mereka terhadap kenaikan kos sara hidup ini.
Keadaan ini telah membangkitkan satu gelombang protes rakyat yang seumpama Reformasi yang berlaku pada 1998. Mungkin isu yang berbeza, tapi nada yang sama iaitu ketidakadilan kerajaan terhadap kepentingan rakyat.
Antara gelombang yang berlaku ialah Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) yang dipelopori mahasiswa seterusnya diikuti dengan satu street protest yang akan berlaku pada malam 31 Disember 2013.
Yang pasti,kerajaan Malaysia sememangnya khuatir gelombang ini akan menggugat pemerintahan mereka dengan cubaan tangkapan terhadap pengerusi TURUN yang disabitkan kesalahan berniat untuk menggulingkan kerajaan. Tidak kurang media negara dijadikan budak upahan bagi memaparkan berita dan ancaman bertujuan menakutkan rakyat untuk bersama-sama dalam protes pada 31 Disember ini.
Terlalu besar pengkhianatan kerajaan Malaysia lakukan menerusi kenaikan kos sara hidup ini walaupun mereka baru sahaja menang dalam Pilihanraya Umum ke-13 pada Mei yang lalu.
Saya tidak dapat menjangkakan apa yang bakal berlaku kepada negara Malaysia sepanjang 5 tahun pemerintahan Barisan Nasional. Golongan kaya terus hidup dalam timbunan kemewahan dan marhaen terus mengemis untuk sesuap nasi. Di benak saya adakah Malaysia akan diisytiharkan bankrap seperti yang digembar-gemburkan?
Mesir dan nasib ummah
Kekalutan kita berhadapan dengan isu kenaikan kos sara hidup ini telah membuatkan kita leka dengan isu yang lebih bersifat global iaitu isu Mesir yang semakin parah.
Saban hari semakin ramai rakyat yang tidak berdosa dibunuh, fatwa ulama’ yang membenarkan nyawa rakyat Mesir dikorbankan, Parti Nur dan Dakwah Salafiah cawangan Iskandariah yang bersubahat dengan pihak tentera, kerjasama yang diberikan oleh Saudi dan UAE kepada kezaliman As-Sisi serta banyak lagi mewarnai politik Mesir.
Kekejaman As-Sisi kepada rakyat Mesir lebih teruk jika hendak dibandingkan kekejamaan Israel terhadap rakyat Palestin.
Jika kita menentang kezaliman kerajaan Malaysia yang terus-terang menggunakan wang rakyat dengan salah, rakyat Mesir menentang kezaliman As-Sisi yang membunuh rakyatnya dengan sewenang-sewenangnya.
Malangnya isu kezaliman pemerintah ini tidak akan berhenti dan kezaliman ini akan berterusan selagi mana keadilan Islam tidak ditegakkan atas muka bumi ini. Lagi isu kezaliman yang melatari krisis kemanusiaan yang berlaku.
Di mana pedulisme mahasiswa?
Di tengah kemelut berpanjangan kezaliman pemerintah itu, sautu krisis yang kita hadapi adalah mahasiswa yang semakin kurang sikap peduli. Ada antara mereka yang sibuk untuk mengejar ‘first class owner’ semasa graduasi dan juga yang leka dengan berhibur dengan budaya hedonism.
Mahasiswa yang kurang sifat empati terhadap masyarakat sekeliling sehinggakan mereka lupa peranan dan amanah mereka pada negara masa mendatang.
Mahasiswalah yang bakal memimpin negara di pelbagai varsiti masyarakat serta bakal mendidik anak bangsa seterusnya. Tugas ini amatlah berat dan mesti dimulakan dengan pembinaan diri seorang mahasiswa.
Oleh itu, mahasiswa semestinya mempunyai sikap kritis serta peduli terhadap perkara-perkara yang berlaku sekelilingnya juga terhadap masyarakat.
Bangkitlah mahasiswa, keluarlah dari kepompong pentingkan diri, pedulilah pada dunia sekelilingnya dan beranikanlah dirimu untuk menentang ketirisan kerajaan kerana kau harapan negara suatu hari nanti.
(*) Penulis ialah pelajar Kejuruteraan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan