touch n go


SHAH ALAM – Pengguna Touch n Go diingatkan untuk menebus rebat sebanyak 20 peratus bagi penggunaan lebuh raya esok (31 Disember), iaitu hari terakhir tahun 2013.

Sinar Harian difahamkan, mulai 1 Januari 2014, pemberian rebat tersebut akan dimansuhkan.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, syarikat pengendali sistem pembayaran elektronik, Touch n Go Sdn Bhd tidak mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada tawaran rebat sebanyak 20 peratus bagi pengguna lebuh raya diterus atau dimansuhkan.

Menurut sumber, semua keputusan hanya akan diputuskan kerajaan dan Touch n Go  tidak menerima sebarang arahan berhubung perkara itu.

Katanya, jika kerajaan mengambil langkah untuk memansuhkan rebat tersebut, ia boleh dilakukan terus tanpa notis.

“Memandangkan ini adalah hadiah daripada kerajaan kepada rakyat, jadi itu hak mereka untuk terus atau sebaliknya.

“Pengurusan Touch n Go tidak berhak memberi sebarang kenyataan berhubung hal ini,” katanya.

Rebat Touch n Go termasuk dalam 11 hadiah mesra rakyat yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sempena sambutan 100 hari sebagai perdana menteri pada 11 Julai 2009.