MOHD NOR YAHYA
KOTA BHARU: Kesungguhan anak Kelantan yang bertugas di perantauan balik mengundi biar pun tinggal di rantau orang, menjadi antara faktor kepemimpinan ulama terus utuh.
Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, sokongan padu mereka membolehkan kerajaan yang diteraju ulama sejak 1990 bertahan sehingga sekarang.
“Kerajaan negeri amat menghargai jasa mereka yang sama-sama berperanan mempertahankan Kelantan pada pilihan raya umum ke-13,” katanya ketika meraikan kunjungan anak Kelantan yang bertugas di Sabah dan Sarawak di Kota Darulnaim hari ini.
Hadir sama pada pertemuan tersebut anggota-anggota Exco, Datuk Nassuruddin Daud, Dr Ramli Mamat, Setiausaha Politik Menteri Besar, Wan Nik Wan Yussof dan Presiden Persatuan Anak Kelantan di Perantauan (Perakan), Ir Hamzah Abd Rahman.
Ahmad juga berharap anak-anak Kelantan yang berada di perantauan bertindak sebagai duta bagi menyalurkan pelbagai maklumat kepada masyarakat di tempat mereka tinggal.
Sementara itu wakil Perakan Sabah, Zaidi Mustafa berkata, kerajaan di bawah kepimpinan baru hendaklah mempertingkatkan lagi hubungan dengan anak-anak Kelantan di perantauan.
“Saya juga berharap sebarang maklumat dan isu yang berlaku di Kelantan dapat disalurkan segera kepada Perakan di Sabah dan Sarawak,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan