Ahad, 29 Disember 2013

2014: Hadiah bom jangka kerajaan kepada rakyat



Oleh  Ahmad Fuad Mohd Zani


Tinggal beberapa hari sahaja lagi, tahun 2014 bakal menjelma, tahun yang dikatakan amat mencabar terutamanya bagi rakyat Malaysia khususnya, apabila mungkin sambutan tahun baru pada tahun ini disambut dengan kenaikan berantai barangan keperluan dan kos sara hidup yang tinggi.


20 sen kenaikan bahan api sudah cukup untuk dijadikan alasan bagi ‘menghalalkan’ kenaikan berantai barang barang keperluan harian rakyat, diikuti dengan rasionalisasi subsidi (baca: kenaikan) harga gula dan tepung, seterusnya tarif eletrik juga meningkat naik, diikuti kenaikan tol dan bakal tiba cukai GST yang bakal diperkenalkan kepada rakyat menjelang April  2014 merupakan ibarat ‘bom jangka’ hadiah daripada kerajaan buat rakyat.

Paling teruk terkesan dengan kenaikan ini adalah golongan pertengahan dibandar yang rata ratanya berpendapatan antara RM1500-RM3000 sebulan. Mungkin pendapatan RM3000 yang dikategorikan sebagai miskin bandar sudah tidak relevan lagi pada masa hadapan, kita tidak akan pelik suatu masa nanti apabila RM4000-RM5000 masih lagi dikategorikan sebagai miskin di kawasan bandar.

Kronologi kenaikan

Belum cukup lagi 365 hari selepas kerajaan Barisan Nasional memerintah, pelbagai kenaikan mendadak dibuat tanpa mengkaji kedudukan sosio ekonomi rakyat, bermula dengan kenaikan RON95 sebanyak 20 sen seliter, kerajaan berdolak dalih dengan rakyat, sedangkan pada masa itu harga minyak sedunia adalah di bawah paras AS$100 setong, dan beberapa hari kemudian barulah diberitahu rakyat bahawa kenaikan itu sebagai salah satu daripada proses rasionalisasi subsidi oleh kerajaan.

Maka menteri yang menjaga hal ehwal pengguna memberi amaran tegas kepada peniaga peniaga agar tidak menaikkan harga sesuka hati dan akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang menaikkan harga barangan mereka.

Suatu alasan dangkal, apabila terus menerus menafikan hakikat bahawa kenaikan tidak akan membebankan pengguna, ironinya, manusia yang waras berfikir dan sejahtera akal fikirannya tidak akan dapat menafikan hakikat bahawa setiap kenaikan pasti akan memberi kesan dan menambah beban kepada pengguna walaupun sebanyak 10 sen!

Begitu juga dengan peniaga, apabila kos bahan api meningkat, maka kos kos yang lain juga turut meningkat, justeru apakah mereka sanggup merugikan perniagaan mereka sendiri dengan mengambil kisah larangan menteri kerajaan yang sentiasa memberi alasan alasan bodoh setiap kali kenaikan, hakikatnya kenaikan walaupun sedikit, akan memberi kesan kepada rakyat daripada yang miskin sehingga yang kaya.

Selepas itu, kita dikejutkan lagi dalam Belanjawan Negara baru baru ini, dengan kenaikan (baca: rasionalisasi) harga gula dan barangan keperluan asas lain, dengan alasan yang mungkin ‘cerdik’ pada pandangan pembesar negara, kononnya kerana ingin menjaga kesihatan rakyat negara ini supaya tidak terdedah kepada penyakit diabetes.

Manakala pada suatu majlis berasingan Perdana Menteri mengatakan bahawa mengurangkan subsidi gula kepada rakyat dapat meningkatkan tenaga batin serta memperbaik kehidupan seks rakyat, seterusnya alasan alasan dangkal ini pula disambut oleh timbalannya pula dalam suatu majlis ceramah semasa pilihanraya kecil di sebuah negeri di utara semenanjung, apabila mengaitkan kematian bekas menteri besar di negeri tersebut akibat terlalu banyak mengambil makanan bergula.

Soalnya jikalau kerajaan benar benar ikhlas ingin membantu rakyat supaya bebas daripada penyakit diabetes kenapa tidak dimansuhkan subsidi sejak 10 tahun lalu, kenapa tidak 20 tahun lalu, kenapa mesti pada hari ini, kenapa tidak ditutup sahaja kilang kilang tebu di Perlis supaya tiada lagi rakyat Malaysia yang terkena kencing manis. Mungkin ayat di atas berbaur emosi, tetapi ia masih lagi lebih baik berbanding menteri yang memberi alasan alasan ‘kurang cerdik’ setiap kali kenaikan (baca: rasionalisasi) berlaku.

Belum pun sempat rakyat menyiapkan kira kira mereka sebagai persediaan menghadapi kenaikan kenaikan sedia ada, rakyat dikejutkan lagi dengan kenaikan kadar tarif elektrik yang akan dinaikkan bermula pada tahun hadapan, dengan kadar 4.99 sen per kilo watt di semenanjung dan 5 sen di Sabah dan Sarawak.Nampaknya pengundi tegar kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) di Sabah dan Sarawak juga tidak terlepas daripada terkena tempias ‘tsunami kenaikan’ ini, apa yang mengejutkan mereka yang digelar ‘deposit tetap’ kerajaan BN ini juga menghadapi kenaikan 1 sen lebih tinggi daripada penduduk Semenanjung!

Selepas itu diputarkan kembali skrip lama kerajaan dengan memomokkan kepada rakyat bahawa kenaikan itu tidak akan membebankan rakyat dan hanya melibatkan penggunaan domestik.Biasanya kita dapati apabila suatu barangan itu dinaikkan harga mungkin kerana sudah mengalami kerugian, tetapi di dalam kes TNB, beberapa hari selepas mengumumkan kenaikan tarif elektrik, laporan daripada TA securities memberitahu bahawa TNB bakal mendapat peningkatan pendapatan berganda iaitu daripada RM4.614 bilion kepada hampir RM5.102 bilion.

Ironinya, TNB adalah sebagai satu satunya anak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang sepatutnya memberi kemudahan dan keselesaan kepada rakyat sudah tidak berperanan lagi, bahkan mereka ibarat sang kapitalis yang menekan hidup rakyat bawahan dan mengaut keuntungan berganda di atas tekanan hidup rakyat.

Kita masih belum lupa, akan antara ‘jasa besar’ Tun Mahathir dalam menambah kantung poket kroni, dengan memperkenal penubuhan pembekal tenaga bebas(IPP), pendedahan mantan CEO TNB, Tan Sri Ani Arope hampir 10 tahun yang lalu, berkenaan dengan perjanjian kerajaan dengan pembekal tenaga bebas (IPP) sehingga menyebabkan beliau disingkirkan daripada TNB, jelas menunjukkan perjanjian TNB dan IPP selama 21 tahun, jelas menindas pengguna, apabila mereka mendapat untung atas angin setiap tahun, hal ini terjadi  apabila TNB terpaksa membayar harga yang lebih mahal kepada IPP dan  untuk menampung perjanjian yang berat sebelah ini, rakyat menjadi mangsa dengan menaikkan kadar tariff elektrik supaya mereka memperoleh keuntungan berlipat kali ganda.

Sudah jatuh ditimpa tangga, begitulah peribahasa yang sesuai bagi menggambarkan nasib rakyat Malaysia yang telah ditekan oleh kerajaan, belum pun reda isu kenaikan tarif elektrik, tol pula bagaikan tidak sabar mengambil tempat, turut mengumumkan kenaikan bermula Januari 2014.Kenaikan yang melibatkan RM1-RM2.50, di semua plaza tol, memberi kesan berganda kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana di kawasan kawasan bandar.

Antara manifesto BN semasa di dalam PRU13 baru baru ini adalah untuk tidak menaikkan kadar tol jika mereka memenangi pilihan raya, namun belum pun sampai setahun selepas PRU mereka telah mengkhianati rakyat dengan menaikkan kadar tol. Yang lebih menzalimi rakyat apabila kerajaan sehingga hari ini masih enggan mendedahkan perjanjian konsesi tol.

Kita masih lagi hairan bagaimana tol boleh dinaikkan sewenangnya, sedangkan kos pengendaliannya masih antara yang terendah (iaitu 10% setahun), pertambahan trafik kenderaan yang semakin meningkat, malah syarikat syarikat ini mendapat subsidi pula daripada kerajaan, mengapakah masih lagi berlaku kenaikan dan yang menyedihkan lagi perjanjian konsesi yang tidak didedahkan ini berlanjutan sehingga 2038! Sekali lagi rakyat yang menjadi mangsa.

Pemberian BR1M

Skrip lama akan berulang kembali, apabila borang borang pemberian bantuan langsung, BR1M mula diberikan kepada rakyat, dengan peningkatan kos sara hidup berlipat kali ganda, namun BR1M yang diberikan kerajaan meningkat tidak sampai pun sekali ganda, kerajaan membelanjakan RM2.6 bilion bagi tahun 2014 untuk peruntukan BR1M diagihkan kepada rakyat, umpama peniaga dengan pembeli, apabila kerajaan mendapat keuntungan berlipat kali ganda hasil daripada pemansuhan pemansuhan subsidi diatas, sedangkan mereka hanya perlu berbelanja sebanyak RM2.6 bilion untuk memenangi hati rakyat, nampaknya rakyat Malaysia tidak ubah seperti nasib ayam daging yang diberi dedak lalu menunggu masa untuk disembelih lagi.

2014, tahun sengsara rakyat

Nampaknya kenaikan berantai pada tahun 2014 hampir tidak boleh dielakkan lagi, ia umpama hadiah bom jangka daripada kerajaan kepada rakyat yang mengundi mereka, menunggu pula pada April 2015, apabila cukai barangan dan perkhidmatan (GST) diperkenalkan pula, yang dikatakan menjadi pelengkap untuk menjerut rakyat.

Namun kita juga ternanti nanti untuk sampai ke April 2015 berapa puluh kenaikan (baca:
rasionalisasi) akan terjadi lagi yang menunggu masa untuk menghimpit rakyat.Mungkin pada masa GST diperkenalkan rakyat sudah tidak punya apa apa lagi dan kita juga harus ingat antara kesan langsung selepas kenaikan kenaikan berantai ini membawa kepada berlakunya inflasi di negara kita, sekaligus membawa kepada kelembapan ekonomi.

Rakyat tidak memerlukan Ketua Pemuda yang populis, yang menghentam syarikat GLC dalam perhimpunan agung partinya akibat menaikan kadar tarif  elektrik sesuka hati, atau pun ahli parlimen yang menghentam syarikat konsesi akibat menaikkan kadar tol, rakyat tidak memerlukan itu semua, tetapi cukuplah dibuktikan dengan tindakan, andai pemotongan gaji RM10 pun dipandang dingin dan hanya menjadi bahan ketawa mereka, usah bermimpi mahu menjadi hero rakyat!

Rakyat Malaysia boleh menerima sebarang kenaikan yang dibuat atas nama rasionalisasi subsidi andai kerajaan benar benar ikhlas membantu rakyat.Namun rakyat Malaysia tidak boleh melupakan kes jam dinding yang bernilai RM3000 sebiji, ataupun penganjuran konsert  K POP yang menelan belanja RM1.6 juta, kehilangan asset berjumlah RM1.33 juta oleh PDRM dan pelbagai ketirisan lain menyebabkan rakyat benar benar meragui keikhlasan kerajaan dalam menyelamatkan ekonomi negara.

Cukuplah setiap tahun rakyat Malaysia sudah bernanah telinga apabila kerajaan tanpa gagal berbelanja secara boros dan berlaku ketirisan di merata rata tempat, seperti yang didedahkan oleh Laporan Audit Negara setiap tahun. Harus diingat jumlah hutang negara semakin meningkat setiap tahun dan belanjawan negara yang sentiasa defisit hampir 15 tahun menunjukkan bahawa kelemahan tadbir urus negara yang sungguh kritikal. Apakah program Transformasi kerajaan yang dicanang canangkan oleh Perdana Menteri mencapai sasaran kalau begini keadaannya.

Apakah Pak Mat yang kerjanya menangkap keli di permatang sawah atau Mak Mah yang saban hari kerjanya menoreh getah atau Muthu yang kerjanya memerah susu lembu setiap hari untuk di jual atau Ah Chong yang kerjanya pengutip kotak kotak mengerti akan program transformasi kerajaan atau tahukah mereka kadar KDNK negara yang meningkat setiap tahun, terkesankah mereka? bertambah hasil jualan mereka? tahukah mereka akan erti itu semua?

Mereka tidak tahu dan mengerti pun, yang mereka kisah dan peduli bagaimana mahu mencari sesuap nasi dan sedikit lauk buat mengisi perut mereka, namun hari demi hari nilai RM10 yang mereka dapat hasil daripada usaha mereka semakin lama semakin menyusut, jika dahulu RM10 dapat
mengenyangkan seluruh ahli keluarga mereka, namun pada hari ini dengan RM10 yang sama hanya dapat mengenyangkan satu perut sahaja.Siapakah yang peduli nasib mereka yang semakin hari semakin terjerut ini.

Nampaknya tidak banyak yang dapat dilakukan oleh rakyat Malaysia dalam menghadapi tahun tahun suram seperti tahun hadapan,tahun 2014 merupakan tahun sengsara rakyat, nasi sudah menjadi bubur, itulah peribahasa yang sesuai kepada kita semua pilihan raya masih lagi jauh, apa yang mampu dibuat hanyalah bersabar dan nyatakan protes kepada kerajaan dalam himpunan himpunan yang aman.

Walaupun mungkin kesannya sedikit atau sedikit pun tidak terkesan kepada kerajaan jenis ‘pekak badak’ sebegini, tapi sudah cukup untuk memuaskan hati yang sudah geram akibat dikhianati kerajaan yang tidak sampai setahun memerintah.

Terima kasih kepada 49% pengundi BN, akibat anda 51% pengundi PR turut menerima bala.
Terima kasih kepada kerajaan 49% atas rasionalisasi subsidi (baca: kenaikan) ini!
Selamat tahun baru 2014 Malaysiaku! – .

* Penulis adalah mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Tiada ulasan: