rafizi ramli  
Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli


SHAH ALAM – Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat satu entri blog pro-Umno hari ini mendedahkan satu e-mel yang mengaitkan beliau dan seorang individu didakwa mendalangi komplot ancaman bom menjelang perhimpunan rakyat pada 31 Disember ini.

Beliau berkata, pihak polis wajar mengambil tindakan tegas terhadap blogger terbabit yang mereka-reka e-mel tersebut sambil menyifatkannya sebagai ‘fitnah luar biasa’ kerana ia membabitkan ancaman bom serta boleh menggugat ketenteraman awam.

“Ia lebih berbahaya apabila polis tidak mengambil tindakan terhadap fitnah-fitnah seperti ini yang boleh menghuru-harakan ketenteraman awam.

“Apabila ada fitnah yang menyalahgunakan internet sewenang-wenangnya seperti menakut-nakutkan rakyat dengan bom dan sebagainya, polis sepatutnya mengambil tindakan dan tangkap blogger-blogger Umno terbabit,” katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas lanjut pendedahan sebuah blog pro-Umno yang memuat naik “print screen” e-mel yang dikatakan menggunakan alamat akaun milik Rafizi dan rakannya yang dipintas blogger terbabit pada jam 3.03 pagi, hari ini berhubung rancangan mereka untuk memasang bahan letupan di lima lokasi berasing di ibu negara.

Kandungan e-mel tersebut memberi peringatan supaya peserta dan pimpinan pembangkang yang turun menyertai himpunan 31 Disember itu supaya mengelakkan daripada berada di lima lokasi berkenaan, antaranya persimpangan lampu isyarat berdekatan pusat membeli-belah Sogo, Puduraya, bulatan Kereta api Tanah Melayu (KTM)-berdekatan Masjid Negara, LRT Masjid Jamek dan komuter Bank Negara.

Selain itu, Rafizi juga menyifatkan pendedahan e-mel berniat jahat itu sebagai cubaan mengalihkan isu sebenar daripada bantahan orang ramai terhadap kenaikan barangan dan perkhidmatan secara serentak yang membebankan rakyat selepas Barisan Nasional memenangi PRU13 lalu.

“Ia hanya untuk mengalihkan perhatian daripada isu sebenar yang kita bangkitkan hari ini khususnya soal kenaikan harga barang.

“Jika ada sisatan polis, dakwaan itu mungkin boleh alihkan perhatian umum tindakan kerajaan yang mengumumkan beberapa kenaikan barang dan perkhidmatan yang membebankan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana,” dakwanya.

Ditanya sama ada beliau akan mengambil tindakan susulan, beliau berkata tiada keperluan untuk melaporkan kepada pihak polis kerana dakwanya secara terang-terangan blogger terbabit mengakui jika dakwaan itu palsu pun pihak berkuasa perlu melakukan siasatan.