Batal sambutan tahun baharu 
 Zulkifli (tengah) menyempurnakan acara perasmian bangunan baru Kospek.


KUANTAN - Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) membatalkan serta merta sambutan ambang tahun baharu yang dijadualkan berlangsung di Pusat Rekreasi Balok malam ini memandangkan ia tidak sesuai diteruskan pada masa sekarang.

Yang Dipertua MPK, Datuk Zulkifli Yaacob berkata, program menyambut kedatangan tahun baharu 2014 dibatalkan kerana sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT), MPK perlu peka terhadap pandangan rakyat atau orang ramai.

Menurutnya, pembatalan secara mengejut yang diambil itu tidak menimbulkan rasa marah atau perasaan tidak puas hati daripada orang ramai walaupun sebelum ini acara berkenaan sudah diuar-uarkan.

“Mungkin masalah banjir atau situasi selepas bencana ini hanya salah satu faktor dan kita juga masih berwaspada tentang gelombang kedua,” katanya kepada Sinar Harian sempena majlis perasmian Wisma baru Koperasi Majlis Perbandaran Kuantan Berhad (Kospek) di Jalan Bukit Ubi, di sini, semalam.

Sementara itu, di Kelantan Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, tidak ada sebarang sambutan tahun baharu di Kelantan, malam ini.

Katanya, kerajaan negeri tidak pernah merancang untuk menyambutnya sebagaimana yang mungkin pernah dilakukan beberapa pihak sebelum ini.

Mohd Amar berkata, Kelatan hanya mengadakan sambutan tahun Hijrah dan meraikan kedatangan bulan Islam sahaja.

“Tak ada sambutan tahun baharu di Kelantan. Kita tak pernah sambut tahun baharu, kecuali tahun baharu Hijrah ,"katanya.