Memaparkan catatan dengan label BENCANA ALAM. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label BENCANA ALAM. Papar semua catatan

Isnin, 17 Ogos 2020

Penduduk Trolak Pekan harap isu banjir 52 tahun selesai PRK kali ini

B Nantha Kumar

Malaysiakini
  
PRK SLIM | Setiap kali berlaku hujan lebat, Trolak Pekan akan dilanda banjir kilat.

Terletak lebih kurang 7 km dari pusat bandar Slim River, isu banjir di kawasan perumahan dengan 907 pengundi itu belum mendapat suatu penyelesaian muktamad.

Bagi penduduk pekan ini yang kini dibanjiri oleh pemimpin tempatan dan menteri persekutuan, mereka mengharapkan akan ada satu penyelesaian penuh dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim kali ini.

Menurut Kuan Ah Song, 72 yang lahir di pekan ini berkata isu banjir dihadapi penduduk di situ sejak tahun 1968.

"Saya masih ingat, tahun 1968 kali pertama kami dilanda banjir yang besar.

"Sejak itu, tidak ada penyelesaian. Setiap kali hujan lebat akan melanda banjir kilat. Malah sejak beberapa tahun kekerapan dilanda banjir menjadi lebih teruk," katanya kepada wartawan Malaysiakini yang membuat tinjauan di kawasan tersebut hari ini.

Kuan (gambar, atas) menunjukkan rumah kedai miliknya di mana masih terdapat barang-barang yang rosak akibat banjir, sambil mengeluh dirinya berasa malas dan menyampah untuk membersihkannya.

"Saya malas membersihkan rumah saya selepas melanda banjir. Sebab, hari ini kita bersihkan, esok hujan lagi akan melanda semula.

"Lagi baik tidak buat apa-apa," katanya.

Menjelaskan lagi, Kuan memberitahu pembinaan landasan keretapi salah satu punca pekan itu dilanda banjir.

"Mereka ketika buat landasan keretapi, menutup banyak longkang dan paritan menyebabkan air sungai di pekan kami melimpah keluar," katanya.

Ramai pindah sebab banjir

Sementara itu, seorang warga emas mendakwa ramai penduduk pekan ini sudah berpindah ke kawasan lain kerana masalah banjir.

"Adik nampak tak banyak rumah terbengkalai di sini? Ini sebab mereka sudah pindah kerana isu banjir," kata Pathma Munusamy.

Ibu tunggal berusia 68 tahun itu (gambar atas), yang turut tinggal di rumah kedai jalan besar pekan tersebut berkata segala usaha mengadu isu ini kepada pihak kerajaan atau parti politik tidak membuahkan hasil.

"Setiap kali dilanda banjir, mereka datang memberi makanan. Lepas itu tidak balik ke sini.

"Malah, kami pernah buat laporan polis berhubung masalah banjir ini. Masih tidak ada sebarang penyelesaian," katanya.

Pathma turut menolak dakwaan jumlah penduduk terjejas akibat banjir sangat rendah menyebabkan isu ini tidak mendapat perhatian sewajarnya.

"Sebenarnya dulu banyak keluarga terjejas. Tapi, kebanyakan mereka sudah pindah. Sekarang masih sekurang-kurangnya 25 rumah sering terjejas akibat banjir.

"Jadi, kenapa kami tidak diberi perhatian?" tanya lagi.

Sungai Trolak perlu didalamkan

Secara umum kesemua penduduk di sana mengakui bahawa Sungai Trolak yang sangat cetek di pekan itu menjadikan banjir kilat sering berlaku.

"Dulu, orang panggil Sungai Trolak. Sekarang mereka panggil 'Sungai Trolak Banjir' kerana kekerapan banjir berlaku di kawasan kami," kata Ramesh Ramachandran.

Berusia 50 tahun, pemandu jentera berat itu berkata Sungai Trolak perlu didalamkan untuk menyelesaikan isu ini.

"Pembinaan rumah di kawasan sekeliling dan pembangunan lain menyebabkan sungai ini menjadi satu-satunya saluran untuk mengeluarkan air dari kawasan ini ketika hujan.

"Tetapi, ia tidak diselenggara dengan baik menjadi punca banjir. Sungai ini sangat cetek. Hujan sedikit jambatan dinaiki air," kata dia sambil menunjukkan jambatan yang dibina pada tahun 1939 itu.

"Kami dah jumpa semua orang termasuk bekas Yb Datuk Khusairi. Tiada siapa bantu kami.

"Harap kali ini yang datang (calon atau menteri) ke kawasan kami untuk meraih undi naik jentolak (supaya mendalamkan sungai)," katanya secara berseloroh.

Tambah kapsyen

Trolak Pekan salah satu daripada 13 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di DUN Slim.

Dengan jumlah 907 pengundi, sebanyak 239 adalah Melayu, 83 Cina, 389 India dan lain-lain sebanyak 196.

PRK Dun Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya allahyarham Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai.

Pengundian ditetapkan pada 29 Ogos.

Pada PRU14, Mohd Khusairi yang mewakili BN menang dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.

Selasa, 11 Ogos 2020

Asap debu gunung berapi Sinabung dijangka masuk ruang udara Malaysia malam ini

Gunung berapi Sinabung meletuskan abu di Karo, Sumatera Utara hari ini. 
Sinabung merupakan salah satu daripada 120 gunung berapi aktif di Indonesia. 
(Gambar AP)

KUALA LUMPUR: Asap debu dari gunung berapi Sinabung di Sumatera, Indonesia yang meletus pada pukul 11.37 pagi tadi dijangka memasuki ruang udara negara di utara Selat Melaka dan negeri di utara serta timur Semenanjung bermula malam ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Jailan Simon berkata, asap debu letusan gunung berapi itu akan turut memasuki ruang udara negeri di timur Semenanjung, iaitu Perak, Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Keadaan ini (asap debu) boleh menjejaskan operasi penerbangan pada paras 1,500 hingga 5,000 meter,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun beliau berkata, orang ramai tidak perlu bimbang kerana ia dijangka tidak menjejaskan kualiti udara negara.

Ini adalah berdasarkan model trajektori HYSPLIT yang dijana MetMalaysia dan ramalan daripada Pusat Amaran Debu Gunung Berapi Serantau (VAAC) Darwin, Australia.

Beliau turut memaklumkan tiada kesan gempa bumi dan tsunami dijangka melanda negara akibat letusan gunung berapi itu dan keadaan semasa Indeks Pencemaran Udara (IPU) seluruh negara menunjukkan kualiti udara yang biasa, iaitu pada kadar baik dan sederhana.

Orang ramai dinasihatkan sentiasa peka dengan maklumat yang dikeluarkan oleh MetMalaysia melalui laman web rasmi, aplikasi myCuaca dan media sosial.

Isnin, 20 Julai 2020

Orang Asli terperangkap, jambatan runtuh

Ramli Ibrahim

JALAN dan jambatan runtuh di laluan Pos Tohoi, Simpor dan Gob. FOTO Ramli Ibrahim

AKITIVITI harian lebih 7,000 Orang Asli di pedalaman Gua Musang terjejas apabila mereka terputus hubungan selepas jambatan runtuh dan jalan tertimbus, empat hari lalu.

Antara pos Orang Asli terbabit ialah Pos Tohoi, Simpor, Gob, Belatim dan Bihai, yang h.

Kejadian Jumaat lalu itu berikutan limpahan air sungai dan banjir lumpur selepas hujan lebat lebih enam jam.

Penghulu Pos Bihai, Alang Segan berkata, keseluruhan Orang Asli di sekitar pos terbabit terpaksa berkurung di rumah kerana terkepung dengan jalan terputus.

Malah, katanya mereka juga terpaksa berdepan dengan masalah kehabisan makanan dan sukar untuk ke bandar.

Dia berkata, penduduk turut berusaha membaiki jalan yang tertimbus dan berselut.

"Bagaimanapun, kita mengharapkan kerajaan dapat mengambil tindakan segera untuk membaikinya supaya penduduk tidak terkepung dengan masalah itu terlalu lama.

"Ini adalah pertama kali berlaku keadaan seumpama itu dan sebelum ini hanya kerosakan jalan sahaja apabila hujan," katanya di Gua Musang, hari ini.

Penduduk Pos Belatim, Saa Alang, 33, berkata, terdatan runtuh di sekurang-kurangnya enam lokasi di jalan balak dari Pos Bihai menghubung Pos Belatim.

Selain itu, katanya, dua jambatan kayu juga runtuh apabila air sungai melimpahi tebing.

"Kejadian kerosakan jalan itu paling teruk tahun ini hingga menjejas kami bukan sahaja untuk ke bandar ini, tetapi juga mencari sumber rezeki di hutan," katanya.

Ahad, 19 Julai 2020

Lima daerah di Selangor dilanda banjir

Rafidah Mat Ruzki

PENDUDUK membersihkan rumah mereka yang kotor akibat ditenggelami air dalam kejadian banjir kilat di Taman Muhibbah, Sungai Chua, Kajang. FOTO Hairul Anuar Rahim

BANJIR di 41 kawasan di lima daerah di Selangor mengakibatkan 265 penduduk terpaksa berlindung di pusat pemindahan apabila kediaman mereka dinaiki air sejak petang semalam.

Ketua Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor (UPBN), Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata, Hulu Langat mencatatkan jumlah kawasan paling terjejas iaitu 22 lokasi membabitkan kampung, taman perumahan serta sekolah, diikuti Sepang dengan 12 lokasi, Hulu Selangor (empat), Gombak (dua) dan Klang (satu).

Beliau berkata, tujuh pusat pemindahan dibuka bagi menampung mereka yang dipindahkan.

"Sebanyak 22 lokasi di Hulu Langat dilanda banjir iaitu Kampung Sungai Pening, Semenyih; Kampung Bukit Dukong; Kampung Sungai Sekamat; Kampung Batu 13; Kampung Sungai Balak; Kampung Sri Jambu; Kampung Sungai Jernih; Batu 10, Cheras; Sungai Raya, Batu 9; Kampung Bangi; Taman Muhibbah; Kampung Sungai Kantan; Kampung Batu 14; Kampung Sungai Ramal; Jalan Reko; Kawasan Medan Satay Kajang; Taman Taming Jaya; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Aziz Shah (SAAS), Kajang; Sri Bangi, Seksyen 8; Teras Jernang; Kampung Sungai Serai dan Sekolah Rendah Agama (SRA) Sungai Serai.

"Sebanyak 12 lokasi di Sepang pula membabitkan Taman Desa, Jenderam Hilir; Jalan Salam, Sungai Merab; Rancangan Revolusi Hijau, Dengkil; Taman Baiduri, Dengkil; Kampung Orang Asli Jenderam Hulu; Taman Lestari Mewah; Kampung Lalang; Kampung Cemperai; Kampung Sri Tanjong; Taman Mas; Taman Kristal dan Taman Permata.

"Empat lokasi di Hulu Selangor juga dinaiki air iaitu di Kampung Sentosa, Batang Kali; Taman Seri Cahaya, Batang Kali; Taman Seri, Batang Kali dan Lorong 4B, Taman Lembah Damai, Kerling," katanya ketika dihubungi.

Ahmad Fairuz berkata, dua lokasi di Gombak ialah di Lorong E5, Kampung Melayu, Sri Kundang dan Fasa 4, Taman Rahmat Jaya manakala Taman Sri Muda di daerah Klang juga dinaiki air.

Beliau berkata, tiga pusat pemindahan diaktifkan di Hulu Langat iaitu Kompleks Penghulu Batu 10 Cheras yang menempatkan sembilan keluarga (35 mangsa); Dewan Kampung Baru Sungai Chua yang menempatkan 13 mangsa daripada empat keluarga; dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Serai yang menempatkan 80 mangsa daripada 18 keluarga.

Katanya, empat lagi pusat pemindahan dibuka di Sepang iaitu di Dewan MPKK, Kampung Jenderam Hilir, Dengkil yang menempatkan 33 mangsa daripada lapan keluarga; Dewan Majlis Perbandaran Sepang di Dengkil yang menempatkan 81 mangsa daripada 18 keluarga dan seramai 23 mangsa daripada lima keluarga kini berlindung di Dewan KOA Dengkil manakala pusat pemindahan di Dewan Gemilang, Dengkil juga diaktifkan namun belum ada penduduk dipindahkan di situ.

Beliau berkata, Smart Selangor Command Centre (SSCC) akan terus memantau dan membuat tindakan susulan kejadian banjir itu serta akan menyampaikan maklumat terkini dari semasa ke semasa.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cyberjaya, KLIA, Selayang, Bandar Tun Hussein Onn, Kajang, Bangi, Rawang, Kuala Kubu Baru serta Sepang terbabit dalam usaha memindahkan penduduk terjejas.

Beliau berkata, paras air antara 0.6 meter hingga 1.5 meter di sesetengah kawasan di Sepang dan pihaknya menerima panggilan kecemasan susulan banjir sehingga jam lima pagi tadi.

Keadaan banjir di semua kawasan di Sepang sudah mulai susut pada jam 8 pagi tadi dan pihaknya akan menerus pemantauan sehingga banjir surut sepenuhnya.

Pokok tumbang, banjir kilat di ibu negara susulan hujan lebat

Lima kejadian pokok tumbang dilaporkan di beberapa tempat di sekitar ibu negara
susulan hujan lebat dan ribut petir petang tadi.

PETALING JAYA: Lima kejadian pokok tumbang dan 1 kejadian banjir dilaporkan di sekitar Kuala Lumpur susulan hujan lebat dan ribut petir yang berlarutan sejak 3 petang tadi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur memaklumkan tiada mangsa dilaporkan dalam semua kes kecemasan itu, namun 3 kejadian pokok tumbang yang berlaku mengakibat beberapa kenderaan awam rosak teruk.

Menurut jabatan itu lagi, kejadian pokok tumbang berlaku di PPR Matu Muda, di sebelah Grand View Kepong; Jalan Athinahapan 2, Taman Tun Dr Ismail; Taman Sri Rampai dan Sungai Pencala.

Manakala banjir kilat setinggi 1 kaki berlaku di depan Masjid Ububiah, Jalan Segambut Dalam, Kuala Lumpur, namun tiada mangsa yang terlibat.

Selasa, 14 Julai 2020

Mangsa banjir Johor malam ini meningkat

JUMLAH mangsa banjir di negeri ini meningkat kepada 707 orang daripada 164 keluarga malam ini, berbanding 227 orang daripada 47 keluarga, petang tadi, dengan 10 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Muar, Tangkak serta Pontian.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R.Vidyananthan berkata setakat pukul 8.00 malam tadi, enam PPS dibuka di Muar, tiga di Tangkak serta satu di Pontian.

“Pontian menjadi daerah terbaharu dilanda banjir apabila PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Penerok dibuka pada pukul 7.00 malam tadi, menempatkan 43 orang daripada 12 keluarga dari Kampung Penghulu Bakar, Jalan Makan serta Kampung Sungai Buntu,” katanya menerusi kenyataan, malam ini.

Katanya 143 orang daripada 30 keluarga di Muar kini berada di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Maharani; SMK Dato’ Sri Amar Diraja (48 orang, 12 keluarga); SMK Sungai Abong (56 orang, 12 keluarga); SMK Tengku Mahkota (70 orang, 15 keluarga); SK Sungai Raya (45 orang, 14 keluarga) manakala SK Parit Keroma (78 orang, 19 keluarga).

Beliau berkata di Tangkak pula, seramai 224 orang daripada 50 keluarga berada di SK Parit Bunga, SK Tanjung Gading 5 dan Dewan Serbaguna Penghulu Long. – BERNAMA

Cuaca lembab berterusan hingga hujung Julai

SINAR HARIAN

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Negara akan mengalami keadaan cuaca lembab dari semasa ke semasa dan dijangka berterusan sehingga hujung Julai ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jailan Simon berkata, jangkaan itu berdasarkan intensiti monsun Barat Daya tahun ini yang dikesan lemah berbanding biasa hingga menyebabkan cuaca lembab berlaku pada bulan Jun dan Julai yang kebiasaannya kurang hujan.

"Hujan lebat yang berterusan mengakibatkan banjir kilat di beberapa kawasan pula adalah akibat daripada penumpuan angin Tenggara dan angin Barat Daya di selatan Semenanjung serta angin Barat Daya dan angin Barat Laut di utara Semenanjung.

“Keadaan ini juga berlaku serentak dengan air pasang yang sejak awal pagi tadi. Bagaimanapun, cuaca lembab itu dijangka berkurangan menjelang lewat petang ini,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, kawasan pesisir pantai barat Semenanjung berpotensi berlaku hujan lebat serta ribut petir (garis badai), pada awal pagi akibat daripada penumpuan angin barat daya.

Pada sebelah petang pula, keadaan cuaca yang sama dijangka berlaku di kawasan pedalaman negeri Perak, Selangor, Johor, Pahang, Kelantan, Sabah dan Sarawak.

MetMalaysia meminta penduduk di kawasan rendah yang biasa dinaiki air, untuk lebih berwaspada sekiranya berlaku hujan lebat, serta menyimpan dokumen-dokumen penting di tempat yang selamat dan mudah diambil, sekiranya berlaku bencana dan segera berpindah ke pusat-pusat pemindahan yang disediakan apabila diarahkan.

Sebarang maklumat lanjut berkaitan cuaca dan amaran cuaca, orang ramai boleh melayari laman web rasmi dan media sosial rasmi MetMalaysia atau melalui talian 1-300-22-1638 dan aplikasi myCuaca. - Bernama

Isnin, 6 Julai 2020

Projek tebatan banjir Sungai Golok beri manfaat kepada lebih 45,000 penduduk

Rantau Panjang yang terletak di lembangan Sungai Golok adalah antara bandar yang
akan mendapat manfaat daripada projek mitigasi banjir yang sedang berjalan.
(Gambar Bernama)

PASIR MAS: Kerajaan memulakan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) di Sungai Golok bagi menangani masalah banjir yang melanda kawasan tersebut setiap tahun.

Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pelaksanaan projek bernilai RM1.029 bilion itu dilakukan dalam 3 fasa dengan fasa pertama yang dijangka siap pada April 2022 menelan belanja RM300 juta.

“Projek ini akan memberi manfaat kepada 45,700 penduduk, meliputi kawasan seluas 225 kilometer (km) persegi,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek PLSB, Sungai Golok (Kesban) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Tuan Ibrahim berkata, komponen utama projek membabitkan kerja-kerja tebatan banjir dan kerja-kerja di muara Sungai Golok.

“Komponen kerja tebatan banjir melibatkan pembinaan ban banjir Sungai Golok sepanjang 26 km, ban banjir Sungai Mentua (8 km), ban banjir di Sungai Lemal, Lanchang (19 km) dan pembinaan pintu air Kuala Jambu.

“Kerja penambahbaikan di muara Sungai Golok akan dilaksanakan dengan pembinaan benteng dinding dan penyediaan laluan pelayaran,” katanya.

Isnin, 29 Jun 2020

Banjir Sabah: Laluan kereta api Tenom-Halogilat tenggelam

PERKHIDMATAN kereta api bagi laluan Tenom-Halogilat ditutup buat sementara waktu kerana kerosakan teruk pada landasan akibat banjir berikutan hujan lebat melanda negeri ini sejak semalam.

Pengarah Jabatan Keretapi Negeri Sabah, Leonard Poyong, ketika dihubungi Bernama, berkata operasi perkhidmatan bagi laluan berkenaan akan mengambil masa untuk dipulihkan.

Menurutnya, kerja-kerja pembaikan landasan akan dilakukan oleh kontraktor iaitu Suria Capital Holdings Berhad yang sedang melaksanakan projek menaik taraf landasan Tenom-Halogilat.

“Hari ini, perkhidmatan kereta api hanya beroperasi di sektor Beaufort-Papar-Halogilat. Perkhidmatan kereta api bagi sektor Kota Kinabalu-Beaufort tergendala pagi tadi dan akan dipulihkan selepas banjir di Kinarut beransur pulih serta landasan selamat untuk dilalui,” katanya hari ini.

Sementara itu, Presiden Majlis Pengusaha-Pengusaha Bas Ekspres Sabah, Datuk Donald Hanapi berkata operasi pengusaha bas ekspres di negeri ini tidak menghadapi sebarang masalah dan berjalan seperti biasa setakat ini.

Bagaimanapun, Donald berkata, pihaknya turut bimbang sekiranya berlaku tanah runtuh di kawasan-kawasan berbukit memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini.

“Jika ada tanah runtuh, pemandu bas akan membuat lencongan dengan melalui mana-mana laluan alternatif,” katanya.

Ekoran hujan lebat semalam, sebanyak 10 daerah di negeri ini terjejas oleh banjir iaitu Kota Belud, Tuaran, Putatan, Penampang, Papar, Beaufort, Keningau, Tenom, Kota Marudu dan Pitas.

Sementara itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengarahkan agar semua daerah yang dilanda banjir mengaktifkan jawatankuasa bencana bagi memastikan kawasan terbabit dapat diurus dengan baik.

Beliau berkata setiap pegawai daerah yang terlibat  perlu bekerjasama dengan semua agensi yang ada untuk memastikan masalah berkenaan dapat ditangani dengan baik.

“Untuk mengatasi masalah ini terdapat beberapa perkara yang perlu diutamakan iaitu keselamatan penduduk. Kita perlu memastikan semua penduduk di kampung yang terjejas banjir selamat…selain itu kita perlu memastikan makanan mereka mencukupi.

Kerajaan juga akan memastikan mereka mendapatkan bekalan air bersih yang mencukupi…kerana apabila air tidak mencukupi banyak masalah yang timbul seperti wabak penyakit kolera,” katanya ketika meninjau kawasan banjir dan Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Pusat Kebudayaan Penampang,hari ini.

Mohd Shafie berkata jawatankuasa bencana di peringkat pusat juga telah diarahkan untuk memantau keadaan banjir di semua daerah terlibat.

“Kita akan pastikan PPS juga berada dalam keadaan yang baik…saya minta agar kesihatan di PPS diberi keutamaan. Saya yakin kita dapat tangani masalah banjir ini dengan baik sekiranya semua pihak memberikan kerjasama yang baik,” katanya.

Beliau berkata  Kementerian Pembangunan Infrastruktur Sabah juga telah diarahkan untuk segera memperbaiki semua jalan atau jambatan yang rosak akibat banjir.

“Saya telah minta agar jalan runtuh, jambatan gantung rosak dan sebagainya dapat dibaiki dengan segera. Saya minta kementerian berkenaan ambil tindakan serta merta demi kebaikan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata antara punca yang menyebabkan banjir di beberapa daerah di negeri ini ialah sistem perparitan yang tidak teratur.

“Selain itu terdapat pelan mitigasi banjir terbantut seperti di kawasan Penampang dan kita akan mencari jalan untuk mempercepatkan tindakan agar masalah itu dapat diselesaikan dengan segera. Semua parit yang tidak teratur perlu diperbaiki dan sungai juga perlu dilebarkan,” katanya. – BERNAMA

Ahad, 28 Jun 2020

49 dipindahkan, ribuan terjejas akibat banjir di Sabah

Penduduk meredah air untuk ke tempat lebih tinggi susulan banjir di Kota
Belud, Sabah.

KOTA KINABALU: Seramai 49 orang dipindahkan selepas 7 daerah di Sabah dilanda banjir lewat malam tadi.

Seramai 18 mangsa ditempatkan di Dewan Kebudayaan Penampang dan selebihnya di Dewan Masyarakat Tun Said Keruak dan Sekolah Menengah Kebangsaan Taun Gusi II di Kota Belud.

Banjir itu berpunca daripada hujan lebat berterusan sejak petang semalam hingga lewat malam.

Jabatan Pertahanan Awam berkata, ribuan penduduk di Penampang, Tuaran, Kota Belud, Keningau, Pitas, Kota Marudu dan Beaufort terjejas.

Katanya, 19 kampung di Kota Belud dinaiki air dan air sungai mencecah paras berbahaya.

Mangsa banjir yang dipindahkan ke sebuah pusat pemindahan
sementara di Kota Belud, Sabah.

Adun Kapayan, Jannie Lasimbang menggerakkan “tentera penyapu” untuk membantu membersihkan kawasan awam, sekolah dan rumah warga emas, orang kelainan upaya serta pesakit di Penampang.

“Bandar Donggongon dan kawasan sekitarnya dibanjiri air dan sejak malam tadi hingga pagi ini, banyak kawasan ditutup akibat paras air tinggi yang berbahaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kedalaman Sungai Moyog mencecahkan paras berbahaya 9.11m malam tadi dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana daerah sudah diaktifkan.

Hujan sudah berhenti pagi ini, tetapi Jabatan Meteorologi meramalkan hujan lebat di kawasan pedalaman, panyai barat Sabah, Kudat dan Kota Marudu pada petang nanti.

Rabu, 24 Jun 2020

687 mangsa banjir masih di 14 pusat pemindahan Johor

Anggota bomba dan penyelamat meredah air untuk mencari mangsa banjir.
(Gambar Bernama)

JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di Muar, Batu Pahat dan Pontian tidak banyak berubah dengan 687 orang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) malam ini berbanding 731 orang petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata jumlah itu membabitkan 176 keluarga di 14 PPS setakat 8 malam tadi.

“Seramai 281 orang daripada 80 keluarga masih berada di 5 PPS di Muar, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Nawi, SK Orang Kaya Ali, SK Batu 18, SK Parit Bulat serta SK Seri Menanti berbanding 316 orang daripada 86 keluarga petang tadi.

“Di Batu Pahat pula, 205 orang daripada 44 keluarga ditempatkan di 3 PPS, iaitu SK Peserai, Sekolah Agama 3 Serangkai dan SK 3 Serangkai,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, 201 orang daripada 52 keluarga masih berada di 6 PPS di Pontian, iaitu SK Seri Bukit Panjang, SK Seri Bunian, SK Kampung Melayu Raya, SK Agama Parit Sikom, SK Belokok serta SK Penerok.

Katanya, PPS di SK Agama Parit Sikom mula dibuka 5 petang tadi, SK Belokok pada 6 petang, diikuti SK Penerok pada 7 malam tadi.

Banjir di beberapa daerah di Johor berlaku sejak Sabtu lalu apabila beberapa kawasan rendah dinaiki air berikutan hujan lebat melebihi kadar biasa serta fenomena air pasang.

Selasa, 23 Jun 2020

Fenomena air pasang, banjir di Johor: 614 mangsa ditempatkan di 10 PPS

PERKEMBANGAN terkini banjir di Johor. Jumlah mangsa banjir meningkat sedikit pagi tadi. Sebanyak 614 mangsa banjir berada di pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 607 orang malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan dalam satu kenyataannya hari ini berkata, setakat pukul 8 pagi tadi, kesemua mereka yang melibatkan 156 keluarga di Muar, Batu Pahat dan Pontian, berada di 10 PPS.

Vidyananthan berkata, berlaku sedikit pertambahan mangsa yang dipindahkan ke PPS di Muar dan Batu Pahat malam tadi manakala di Pontian, tidak berubah.

“Setakat pagi tadi, seramai 229 orang daripada 64 keluarga berada di empat PPS di Muar iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Nawi, SK Orang Kaya Ali, SK Batu 18 dan SK Parit Bulat.

“Manakala 183 daripada 39 keluarga berada di tiga PPS di Batu Pahat iaitu SK Peserai, Sekolah Agama 3 Serangkai dan SK 3 Serangkai,” katanya.

Beliau menambah di Pontian, seramai 202 orang daripada 53 keluarga berada di tiga PPS iaitu SK Seri Bukit Panjang, SK Seri Bunian serta SK Kampung Melayu Raya.

Banjir di beberapa daerah di Johor berlaku sejak Sabtu lalu apabila beberapa kawasan rendah dinaiki air berikutan hujan lebat melebihi kadar biasa, ditambah dengan fenomena air pasang. – SM

Isnin, 22 Jun 2020

Mangsa banjir Johor kini meningkat kepada 941 orang

MALAYSIAKINI
 
Malaysiakini
 
Jumlah mangsa banjir di lima daerah di Johor Bahru meningkat kepada 941 orang merangkumi 227 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 915 orang daripada 222 keluarga pada malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R Vidyananthan berkata pertambahan mangsa melibatkan daerah Muar, Pontian dan Batu Pahat.

“Sebanyak 18 pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi setakat 8 pagi dengan Pontian kekal merekodkan mangsa paling ramai iaitu 399 orang daripada 100 keluarga, diikuti Muar dengan 227 mangsa merangkumi 72 keluarga,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Pegawai Daerah Muar Datuk Mohd Haffiz Ahmad berkata daerah tersebut mengalami hujan lebat selama satu jam malam tadi berserta air pasang setinggi 1.7 meter hingga 2.2 meter, sekali gus menjadikan kawasan rendah berisiko untuk dinaiki air.

Pegawai Daerah Batu Pahat Zulkiflee Abas pula menjelaskan hujan renyai sehingga tiga jam selain air pasang di kawasan Peserai turut menyumbang kepada peningkatan mangsa banjir di situ.

“Pontian turut mengalami hujan lebat kira-kira tiga jam pada awal pagi tadi selain faktor air pasang,” kata Pegawai Daerah Pontian Zulkifly Mohd Tahir ketika dihubungi.- Bernama

Ahad, 21 Jun 2020

288 keluarga terjejas banjir di Johor

Mohd Zaini Samsu Hadi
banjir-1-681x349
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seramai 1,210 orang daripada 288 keluarga di lima daerah di Johor terjejas akibat banjir setakat 8 pagi ini berikutan hujan lebat yang berlarutan selama beberapa jam sejak semalam.

Dalam satu kenyataan, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R. Vidyananthan berkata, lima daerah yang terjejas iaitu Muar, Batu Pahat, Tangkak, Kluang dan Pontian.

Berikutan itu kesemua mangsa dipindahkan ke 18 Pusat Pemindahan Sementara (PPS), katanya.

Beliau turut memaklumkan Pontian mencatatkan jumlah mangsa paling tinggi iaitu 349 orang daripada 85 keluarga yang ditempatkan di empat PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bukit Panjang, SK Parit Hj Adnan, SK Kampung Sawah dan SK Seri Bunian.

Ia diikuti Batu Pahat seramai 343 orang daripada 75 keluarga yang dipindahkan ke tiga PPS iaitu SK Agama Air Putih, Balai Raya Kampung Peserai dan Sekolah Agama Tiga Serangkai.

“Di Muar pula, seramai 276 orang daripada 65 keluarga ditempatkan di lima PPS iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Maharani, SK Parit Nawi, SK Tanjung Tohor, SK Orang Kaya Ali dan SK Batu 18,” katanya.

Beliau berkata, 207 mangsa daripada 59 keluarga di Kluang pula ditempatkan di empat PPS iaitu SK Simpang, SK Sri Kencana Simpang Renggam, SMK Dato Abdul Rahman Andak dan Sekolah Agama Komplek Penghulu.

“Seramai 35 keluarga daripada empat keluarga di Tangkak pula ditempatkan di SK Parit Bunga dan SK Tanjung Gading 5,” katanya. – MalaysiaGazette

Selasa, 26 Mei 2020

Empat daerah di Selangor diramal hujan lebat, ribut petir

Wartawan MalaysiaGazette
MGF27032020_ATM-PDRM-BERHUJAN_14-681x454
Anggota Polis Diraja Malaysia dan anggota Angkatan Tentera Malaysia membuat sekatan jalan walaupun dalam hujan lebat susulan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung wabak Covid-19 di Lebuhraya Damansara-Puchong, Selangor. foto AFIQ RAZALI
KUALA LUMPUR – Sebanyak empat daerah di Selangor diramal mengalami hujan dan ribut petir bermula hari ini hingga 1 Jun.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi laman webnya memaklumkan daerah tersebut ialah Hulu Langat, Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Selangor.

Turut diramal ialah Sepang, Kuala Langat, Petaling dan Klang yang akan mengalami cuaca panas bermula hari ini sehingga esok.

Bagaimanapun, daerah-daerah itu kembali hujan pada 28 Mei hingga 1 Jun.

Bagi Sabak Bernam, daerah berkenaan dijangka mengalami cuaca panas bermula Jumaat hingga Isnin depan. – MalaysiaGazette

Rabu, 20 Mei 2020

Banjir: Mangsa di Perak meningkat malam ini

Banjir: Mangsa di Perak meningkat malam ini
Seramai 44 mangsa daripada 10 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak, Bagan Serai. - Foto Sinar Harian


IPOH: Jumlah mangsa yang terjejas akibat banjir di Perak terus meningkat kepada 54 orang daripada 14 keluarga, melibatkan dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah Kerian.

Menerusi aplikasi info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat 8.35 malam, seramai 44 mangsa daripada 10 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak, Bagan Serai.

Ia menunjukkan peningkatan mangsa di PPS berkenaan berbanding hanya 23 penduduk membabitkan empat keluarga pagi tadi.

Berdasarkan aplikasi itu lagi, 10 orang daripada empat keluarga masih kekal ditempatkan di PPS SK Parit Haji Aman, Bagan Serai.

"Kesemua mereka yang ditempatkan di dua PPS berkenaan melibatkan 21 lelaki, 15 wanita, lima kanak-kanak lelaki dan 13 kanak-kanak perempuan," menurut aplikasi itu.-- BERNAMA


Selasa, 19 Mei 2020

Kerian dilanda banjir

BERNAMA

FOTO HIASAN


SERAMAI 33 orang daripada lapan keluarga kini ditempatkan di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah Kerian susulan banjir selepas hujan lebat, sejak petang semalam.

Menurut jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) daerah Kerian, seramai 23 mangsa daripada empat keluarga berada di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak, Bagan Serai yang dibuka pada 5 petang semalam.

Katanya, semua yang dipindahkan adalah penduduk dari kawasan Kampung Matang Tengah dan Jalan FT 147 Bagan Serai.

Sementara itu, satu lagi PPS dibuka di daerah Kerian iaitu di SK Haji Parit Aman pada 10 malam tadi yang menempatkan 10 orang membabitkan empat keluarga dari kawasan Parit 3, Kampung Alor Setanggok, Bagan Serai.

"Semua PPS ini dipantau oleh beberapa jabatan dan agensi termasuk polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), bomba serta Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya.

Isnin, 27 April 2020

Pulau Pinang dilanda ribut, banjir kilat

Ribut dan banjir kilat menenggelamkan beberapa kawasan 
rendah di George Town dan bahagian utara Pulau Pinang hari
 ini. (Gambar Bernama)
 
KEPALA BATAS: Hujan lebat lebih 2 jam di Pulau Pinang hari ini menyebabkan banyak kawasan di negeri itu dilanda banjir kilat dan beberapa buah rumah di daerah Seberang Perai Utara (SPU) turut mengalami kerosakan akibat ribut dalam kejadian tersebut.

Hujan lebat yang turun bermula pukul 3 petang menyebabkan kawasan di Kepala Batas, Permatang Buluh, Lahar Yooi, Nyior Sebatang, Sungai Dua, Machang Bubok, Tasek Gelugor, Simpang Ampat, Bagan Ajam, Merbau Kudung iaitu bahagian pulau dinaiki air di antara 0.1 hingga 0.4 meter.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang Phee Boon Poh berkata, lebih 50 rumah, terutama di kawasan SPU yang berada di kawasan rendah dimasuki air berikutan limpahan air akibat hujan lebat lebih 2 jam di negeri itu.

Bagaimanapun beliau berkata, setakat ini tiada pemindahan mangsa dilakukan dan air banjir juga mula surut.

Selain itu, katanya beberapa buah rumah di kawasan SPU turut mengalami kerosakan akibat ribut dan pihaknya sedang membuat pemeriksaan serta tinjauan bagi mengetahui jumlah sebenar kerugian.

Seorang mangsa ribut di Permatang Buluh, Mohd Azhar, 45, berkata sebahagian bumbung hadapan rumahnya diterbangkan ribut dan rumah kampung setingkatnya itu juga turut dilanda banjir kilat dalam kejadian pada petang ketiga umat Islam berpuasa.

“Mula-mula hujan lebat dalam pukul 3 lebih dan saya serta keluarga memang ada dalam rumah, dalam pukul 5 petang macam tu, tiba-tiba angin kuat… lepas tu bunyi sangat kuat disusuli dengan bumbung terbang dibawa ribut.

“Kejadian tersebut sangat pantas dan saya pada masa sama, terus menjerit kepada anak-anak supaya selamatkan diri dengan berlindung di bahagian dapur, ruang tamu dah dimasuki air hujan waktu tu… Alhamdulilah, kami semua selamat,” katanya di sini hari ini.

Pesawah itu juga berkata rumah beberapa jirannya turut mengalami kerosakan akibat ribut dan mereka bernasib baik kerana tiada yang cedera dalam kejadian tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah SPU Noorzainy Mohd Noor berkata, pihaknya menerima laporan daripada 10 pemilik rumah di daerah tersebut yang dilanda ribut dalam kejadian hari ini, namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

148 mangsa banjir di P Pinang dipindahkan di dua PPS

MALAYSIAKINI
 
Malaysiakini
 
 
Hujan lebat yang berlarutan di kawasan Juru, di Bukit Mertajam semalam menyebabkan rumah penduduk di beberapa lokasi rendah dinaiki air sehingga 0.5 meter dan seramai 148 orang terpaksa dipindahkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka lewat malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri Phee Boon Poh berkata PPS pertama di Sekolah Kebangsaan (SK) Juru, di Bukit Mertajam dibuka pada pukul 11 malam yang menempatkan sembilan keluarga.

"Mereka yang dipindahkan di situ terdiri daripada 33 orang termasuk dua bayi masing-masing lelaki dan perempuan. Pemindahan semua mangsa banjir diuruskan oleh Angkatan Pertahanan Awam bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya di Bukit Mertajam hari ini.

Beliau berkata PPS kedua di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) True Light di Perkampungan Juru pula dibuka pada 11.45 malam dan seramai 115 orang daripada 27 keluarga termasuk dua ibu mengandung ditempatkan di situ.

Menurutnya, petugas turut mengambil suhu badan mangsa bagi memastikan semua mereka tidak demam dan setakat ini mangsa yang dipindahkan ke PPS tersebut dalam keadaan sihat selain mereka diletakkan mengikut penjarakan sosial bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Ketika ini, cuaca di kawasan Bukit Mertajam dan Juru dalam keadaan baik serta banjir telah surut.

Hujan lebat lebih dua jam di Pulau Pinang semalam telah menyebabkan banyak kawasan di negeri itu dilanda banjir kilat dan beberapa buah rumah di daerah Seberang Perai Utara (SPU) turut mengalami kerosakan akibat ribut.

Hujan lebat yang turun bermula pukul 3 petang menyebabkan kawasan di Kepala Batas, Permatang Buluh, Lahar Yooi, Nyior Sebatang, Sungai Dua, Machang Bubok, Tasek Gelugor, Simpang Ampat, Bagan Ajam dan Merbau Kudung dinaiki air antara 0.1 hingga 0.5 meter.- Bernama

Selasa, 14 April 2020

COVID-19: Undang-undang PKP fasa kedua sudah diwartakan - Jabatan Peguam Negara

BERITA HARIAN
 
Kelihatan kesesakan di jalan Ampang ekoran kenderaan memasuki pusat bandar ketika melalui sekatan jalan raya pada tinjauan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan COVID-19. NSTP/ASWADI ALIAS.
Kelihatan kesesakan di jalan Ampang ekoran kenderaan memasuki pusat bandar ketika melalui sekatan jalan raya pada tinjauan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan COVID-19. NSTP/ASWADI ALIAS.
 

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) sudah mewartakan undang-undang Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharan Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelanjutan Kuat Kuasa) 2020 ketika fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang dilanjutkan dari 1 hingga 14 April.

AGC dalam kenyataan media malam ini, berkata bagi fasa ketiga PKP, yang dilanjutkan dari 15 hingga 28 April, jabatan itu sedang menyediakan undang-undang berkenaan.

Jabatan itu berkata demikian sebagai maklum balas kepada kenyataan seorang peguam, Datuk N.Sivananthan dalam artikel “New gazette needed to enforce phase 3 of MCO, says Bar” yang disiarkan sebuah portal hari ini.

Artikel itu, antara lain, menyebut bahawa AGC telah mewartakan undang-undang itu semasa fasa pertama PKP yang bermula pada 18 Mac hingga 31 Mac, bagaimanapun, ia tidak diwartakan bagi fasa kedua dan ketiga PKP.

Peguam itu berkata tanpa warta tersebut, kelihatan seolah-olah tiada lanjutan PKP sejak 1 April lepas.

Kenyataan AGC turut menyenaraikan empat undang-undang yang berkuat kuasa bagi tempoh mulai 1 hingga 14 April 2020 iaitu;

1)Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharan Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelanjutan Kuat Kuasa) 2020

2)Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan)

3)Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No 2) (Pindaan) 2020

4) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengkompaunan Kesalahan-Kesalahan) (Pindaan) (No 2) 2020. – BERNAMA