Ahad, 29 Disember 2013
Mahasiswa tetap terus himpunan Turun walaupun KDN beri amaran
Mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) tetap bertegas akan meneruskan himpunan Gerakan Turunkan Kos Sara Hidup (Turun) 31 Ogos ini bagi mendesak kerajaan menimbang semula beberapa isu berkaitan kos sara hidup biarpun usaha itu cuba dikekang oleh polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Menyifatkan program Turun sebagai salah satu cara kritikan membina rakyat, Exco Perhubungan Awam, Majlis Perwakilan Pelajar UIAM, Nor Azhar Baharum berkata mahasiswa UIAM tidak gentar dengan ugutan pihak berkuasa demi ingin meluaskan penerangan dan meluahkan kebimbangan terhadap situasi kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang terpaksa dihadapi rakyat.
Nor Azhar mendakwa, KDN dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) cuba memberi gambaran salah kepada masyarakat mengenai perjuangan gerakan itu dengan menggambarkan seolah-olah Turun bertujuan memberi ancaman kepada keharmonian negara dengan bertindak untuk menggulingkan kerajaan.
Katanya reaksi pihak berkuasa yang cuba mengelirukan rakyat dengan fakta sebenar telah mencetuskan ketakutan umum berhubung gerakan itu hingga isu utama yang hendak disampaikan oleh Turun tenggelam.
Lebih daripada itu tindakan pihak berkuasa yang masih menggunakan alasan teknikal seperti mengaitkan isu permit memperlihatkan ketidakmatangan KDN dan PDRM menangani isu seperti ini.
"Tuduhan sebegini seolah-oleh menunjukkan mahasiswa tidak faham dengan sistem demokrasi raja beperlembagaan di Malaysia.
"Kami sudah terlibat dalam Pilihan Rayu Umum yang lalu, sudah mengundi, maka tersangat bodohkah kami untuk memahami sistem negara ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Polis semalam menamakan empat pertubuhan di belakang perhimpunan mendesak kerajaan agar menurunkan harga barangan dan perkhidmatan 31 Ogos ini termasuklah Turun yang diketuai oleh Nor Azan Safar.
Melalui media, empat pertubuhan ini digambarkan sebagai pihak yang mahu menggulingkan kerajaan.
Sehubungan itu, Nor Azhar mengutuk media pro Barisan Nasional seolah-olah tidak memahami isu yang cuba disampaikan oleh Turun.
"Mahasiswa berniat murni ingin menyumbang kepada negara dengan turun bersama denyut nadi masyarakat pada malam sambutan tahun baru terus dipermainkan secara tidak bijak oleh pihak KDN.
"Akibatnya, isu utama yang ingin dibawa oleh Turun tidak dapat disampaikan malah dikaburi dengan isu kecil seperti permit dan isu lawak seperti gulingkan kerajaan," katanya.
Tambahnya peranan KDN itu sendiri ialah dengan mewujudkan suasana selamat kepada masyarakat di negara ini bukannya dengan menakutkan rakyat sepertimana yang dilakukan kini.
"Maka dengan ini, mahasiswa mengharapkan pihak KDN terus bertindak matang dalam berhadapan dengan gerakan mahasiswa sebegini.
"Mahasiswa seperti kami ingin terlibat secara langsung dalam proses pembinaan negara yang demokratik. Mahasiswa masih bertindak rasional dan memilih jalan harmoni untuk peradaban negara," katanya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan