Selasa, 31 Disember 2013

Pejabat Mahkamah Syariah Kelantan dipecah masuk

Bernama

 

Pejabat di Mahkamah Syariah Negeri Kelantan di Jalan Pasir Mas-Salor di Kota Bharu dipecah masuk dipercayai untuk mencari maklumat sulit, kata Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu Supt Idris Abd Rafar.

Beliau berkata kejadian itu disedari seorang pembantu tadbir yang  berkhidmat di bangunan berkenaan kira-kira 7.30 pagi semalam ketika mahu memulakan tugas.

"Ketika pengadu masuk kerja di Mahkamah Syariah tersebut mendapati pejabat di aras dua, lima dan enam telah dipecah masuk dengan beberapa bilik dan almari fail di aras berkenaan turut diselongkar.
  
"Selain itu, kamar Ketua Hakim dan Bilik Pegawai Penyelidik di aras enam turut diselongkar," katanya ketika dihubungi Bernama di Kota Bharu, hari ini.

Idris berkata siasatan awal mendapati, suspek dipercayai masuk melalui tingkap di aras dua dengan menggunakan tangga yang  ditinggalkan kontraktor di tempat kejadian.

"Terdapat kesan umpilan di beberapa pintu di aras dua, lima dan enam dan suspek dipercayai menyelongkar almari yang  mengandungi fail, bagaimanapun tidak mengambil barang berharga.

"Hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tidak membantu kerana hanya menampakkan kelibat sahaja berikutan pencahayaan yang  kurang. Siasatan juga tidak dapat menimbulkan cap jari yang sempurna di tempat kejadian," katanya.

Beliau berkata pada hari kejadian pengawal keselamatan ada membuat rondaan setiap dua jam sekali bermula pukul 12 malam dengan rondaan terakhir adalah pada pukul 5 pagi.- Bernama

Tiada ulasan: