Isnin, 30 Disember 2013

Akta GST tak halang kenaikan harga barang

Ainudin Othman

rafizi


KUALA LUMPUR : Tidak ada peruntukan dalam rang undang-undang GST ( RUU cukai barangan dan perkhidmatan) untuk mengekang kenaikan harga barang, kata Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli.

“Dalam RUU GST 2009 yang dibekalkan kepada ahli parlimen, tidak ada satu pun Bahagian atau Fasal menyatakan peniaga wajib menurunkan harga sekiranya peniaga telah menuntut cukai input dari pembelian dan kos perniagaannya,” kata Rafizi pada sidang media di ibu pejabat KEADILAN.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan yang mengatakan kerajaan cuba menurunkan harga barang dengan pengenalan GST.

“Pandangan beliau itu cetek tidak mengambil kira suasana praktikal apabila GST dilaksanakan.
Mungkin kerana beliau tidak pernah pun berkhidmat di dalam sektor perniagaan,” kata Rafizi.

Menurutnya kerajaan minoriti BN hanya melakukan propaganda dengan menyatakan pengenalan cukai GST akan menyebabkan harga barang turun.

no_gst

Sedangkan, kos yang ditanggung peniaga juga akan meningkat dan mengurangkan keuntungannya.

“Walaupun peniaga boleh menuntut kembali cukai GST yang dibayar ke atas pembelian dan kos perniagaannya disebabkan kenaikan harga barang secara keseluruhan, cukai GST yang dituntut itu tidak mencukupi untuk menampung kenaikan kos perniagaannya.

“Dalam keadaan BN hanya berharap supaya peniaga menurunkan harga tanpa ada peruntukan undang-undang untuk mengekang kenaikan harga, sudah tentu peniaga tiada pilihan lain kecuali menaikkan harga untuk memastikan perniagaan mereka tidak lingkup,” tegasnya.

Tiada ulasan: