Saturday, May 2, 2020

Usahawan perlu bijak pendigitalan

Bisnes HM
 
 
 
Kuala Lumpur: Pendigitalan adalah langkah yang perlu diambil usahawan untuk memastikan syarikat kekal berdaya saing dan mampan dalam persekitaran normal baharu di mana tenaga kerja terpaksa berdepan pelbagai impak pandemik Covid-19.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berpendapat, dalam situasi ini tenaga kerja di Malaysia amat cepat menyesuaikan diri dengan keperluan mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, dalam berhadapan cabaran ini, pekerja dan majikan berjaya meningkatkan penggunaan teknologi digital demi memudah cara tugasan dan ini meninggikan produktiviti serta keberkesanan proses.

"Perubahan ini juga melambangkan hala tuju Malaysia ke arah menjadi negara maju seiring Matlamat Pembangunan Mampan yang menekankan kemampanan dalam pekerjaan, kesihatan yang baik, kesejahteraan hidup dan kerjasama strategik," katanya dalam perutusan Hari Pekerja Tahun 2020, yang dikeluarkan semalam.

Mohamed Azmin berkata, kedudukan daya saing ekonomi Malaysia bergantung kepada usaha meningkatkan kepakaran dan kemahiran pekerja

Justeru, majikan perlu mengambil inisiatif memberi latihan terbaik meningkatkan kepakaran pekerja.

"Dalam konteks sekarang, penekanan juga perlu diberikan dalam kebersihan diri, pelaksanaan penjarakan sosial dan lain-lain amalan kesihatan ketika melakukan tugas," katanya.

Menurutnya, perubahan ini bukan saja membantu meningkatkan kecekapan dan produktiviti tenaga kerja, tetapi mampu mengembangkan syarikat menjadi sebuah entiti yang mahir dalam aktiviti e-dagang.

"Tidak dapat disangkal lagi pendigitalan adalah langkah yang mesti diambil usahawan tempatan untuk memastikan syarikat kekal berdaya saing di dalam persekitaran normal baharu ini.

"Saya melihat ini sebagai waktu yang paling baik untuk kita memberi sepenuh fokus kepada pengaplikasian teknologi dan penciptaan inovasi untuk dijadikan pemangkin cara pemikiran dan pekerjaan kita," katanya.

Normal baharu ini juga, katanya, membuka ruang dan menggalakkan sesi bekerja melalui atas talian dari kediaman masing-masing.

"Saya percaya dengan perkembangan ini, syarikat dari segenap sektor ekonomi negara akan mengubah cara mereka bekerja pada masa hadapan dan akan memberi fokus kepada kepentingan mencapai keseimbangan dalam produktiviti dan kehidupan berkeluarga.

"Saya pasti, syarikat-syarikat Malaysia juga akan menambah nilai kepada pengalaman bekerja mereka ketika PKP ini pada masa hadapan," katanya.

Mohamed Azmin berkata, MITI turut mengucapkan tahniah kepada semua rakyat Malaysia khususnya kepada lebih daripada 15 juta pekerja termasuk 1.4 juta rakyat yang bekerja sendiri, yang telah berganding bahu dengan kerajaan untuk menangani Covid-19.

"Sambutan Hari Pekerja ini adalah untuk menghargai titik peluh dan perjuangan golongan pekerja yang telah menyumbang ke arah kemakmuran bersama," katanya.

No comments: