Haji Aminuddin Yahaya
Perlukah tunggu wakil rakyat kemalangan baru ambil tindakan?
KES-KES pemandu mabuk yang kita baca di media-media sebegini memang menyakitkan hati dan menimbulkan amarah.
Lebih-lebih lagi apabila menyebabkan kematian pengguna jalanraya lain yang tidak bersalah.
Saya masih ingat lagi peristiwa
Allahyarham Korporal Safwan yang meninggal dunia kerana dirempuh pemandu
mabuk, ketika beliau menjalankan tugasnya sebagai anggota polis di
tengah-tengah pagi buta, tatkala musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
baru-baru ini.
Peristiwa-peristiwa sebegini berulang
lagi ketika bulan Ramada,n sehinggalah sewaktu kita menyambut Syawal dan
ianya sangat mengecewakan kita kerana seolah-olah tindakan yang diambil
oleh pihak berkuasa tidak berkesan, untuk menghalang manusia-manusia
durjana yang tidak bertanggungjawab sebegini untuk terus mabuk dan
memandu.
Saya yakin, apa yang bermain di fikiran
masyarakat ialah apakah hukuman yang sedia ada tidak cukup berat dan
menggerunkan manusia dari melakukannya?
Atau lebih teruk lagi apabila masyarakat
sendiri tidak yakin dengan undang-undang yang sedia ada dan akhirnya
mengambil jalan untuk mengambil tindakan sendiri di luar jangkaan kita?
Saya sangat bimbang akan perkara ini.
Saya merasakan bahawa kerajaan perlu
mengambil tindakan yang drastik secara holistic, untuk menyelesaikan isu
ini kerana kita tidak mahu lebih banyak nyawa yang tidak bersalah
dipertaruhkan lagi.
Saya lebih risau kerana tidak mustahil peristiwa berdarah sebegini boleh berlaku pada ahli keluarga kita sendiri.
Atau adakah kita perlu tunggu apabila
tragedi sebegini berlaku kepada menteri-menteri, wakil-wakil rakyat dan
orang kenamaan baru tindakan drastik mahu diambil?
Banyak langkah yang boleh diambil oleh
kerajaan dan sebenarnya sudah banyak dibincangkan dan disuarakan oleh
rakyat marhaen di dalam pelbagai sesi diskusi, wacana,
penulisan-penulisan dan pelbagai platform lain.
Namun, masih tidak ada penambahbaikan yang diambil oleh pihak kerajaan.
Antara langkah mudah yang kerajaan boleh
lakukan dalam masa yang singkat ini ialah mengawal ketat premis
penjualan arak kepada umum secara terbuka.
Contohnya, haramkan terus penjualan arak
di tempat terbuka seperti pasaraya, kedai-kedai runcit dan seumpamanya
untuk sekurang-kurangnya di kawasan majoriti penduduk muslim.
Malah, lebih baik jika diharamkan terus
penjualan secara terbuka supaya arak ini tidak mudah didapati dan secara
perlahan-lahan mengurangkan kadar peminuman arak dalam masyarakat ke
arah sifar peminum alkohol dalam masyarakat.
Seterusnya, kita mendesak supaya
undang-undang sedia ada ini dipinda dari segi hukuman-hukuman yang
dikenakan atas pesalah, penguatkuasaan serta peraturan-peraturan yang
berkenaan peminum dan industri arak ini secara keseluruhannya.
Insya-Allah, segala cadangan khususnya
dari segi undang-undang ini akan kami perhalusi dan bentangkan kepada
masyarakat dan pihak kerajaan sendiri.
Saya menyeru supaya rakyat dari semua
latarbelakang untuk bangkit menyuarakan kekesalan kita di platform,
ruang lingkup dan kemampuan masing-masing supaya pihak kerajaan
memandang serius akan perkara ini.
Ingatlah, ini bukan permainan politik
kerana ini adalah isu kita bersama yang akan menyelamatkan nyawa-nyawa
yang tidak bersalah. Insya-Allah, kami, badan-badan bukan kerajaan
(NGO-NGO) Islam akan memperjuangkan isu ini habis-habisan demi
kepentingan kita bersama.
Ayuh kita perangi gejala arak ini bersama-sama!
*Haji Aminuddin Yahaya
Presiden ISMA / Pengerusi PEMBELA
Presiden ISMA / Pengerusi PEMBELA
No comments:
Post a Comment