Seramai 979 individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol ditahan sepanjang tahun lepas dalam operasi (op) mabuk di sekitar ibu kota, kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim.
Tanpa memperincikan maklumat pecahan statistik kes itu, beliau berkata ada antaranya dituduh di mahkamah dan ada sehingga kini masih dalam siasatan.
“Kebiasaannya trend pemandu mabuk di ibu negara berlaku selepas tengah malam,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan Op Mabuk oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur di Kuala Lumpur awal pagi ini.
Menurut Mazlan, dalam tempoh Januari hingga Mei tahun ini, seramai 455 orang ditahan atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.
Sementara itu, mengenai operasi yang bermula pada pukul 11 malam sehingga 1 pagi itu, Mazlan berkata lapan individu termasuk dua bukan warganegara ditahan di tiga lokasi iaitu di Solaris, Jalan Raja Chulan dan Jalan Klang Lama, di Kuala Lumpur kerana berada di bawah pengaruh alkohol.
“Saya ingin menasihatkan orang ramai agar mematuhi undang-undang dan berharap operasi dijalankan ini dapat mengurangkan jumlah mereka yang membawa kenderaan di bawah pengaruh alkohol bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini,” katanya.- Bernama
No comments:
Post a Comment