Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, operasi berkenaan dilaksanakan juga bertujuan membendung dan menyekat penularan wabak COVID-19 di negara ini.
"Selagi PKP masih dilaksanakan, polis tidak akan membiarkan mana-mana pihak yang tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah bergerak bebas.
Beliau berkata sukar untuk mengesan kontak mana-mana pendatang tanpa izin yang dijangkiti wabak itu kerana tiada dokumen perjalanan sah dan pada masa sama, telah menyebarkan virus berkenaan kepada orang lain seterusnya mampu mewujudkan kluster baharu.
"Berbanding warga asing yang berada di negara ini secara sah, mereka ini mudah dikesan kerana pihak berkuasa mempunyai maklumat tentang lokasi kediaman serta tempat kerja selain mengetahui butiran majikan mereka," katanya.
Dalam pada itu, Abdul Hamid berkata sekiranya pendatang tanpa izin itu ditahan, mereka akan dikumpulkan sekali gus memudahkan pihak berkuasa mengawal pergerakan mereka selain menjaga mereka di satu lokasi yang sudah ditetapkan sehinggalah tempoh PKP berakhir.
"Apabila tempoh PKP berakhir kelak, maka terpulang kepada kerajaan untuk memutuskan sama ada untuk meneruskan tindakan susulan mengikut undang-undang yang ditetapkan oleh Jabatan Imigresen atau mengusir mereka kembali ke negara asal melalui proses-proses yang ditetapkan sebelum ini," katanya.
Terdahulu pagi semalam, Jabatan Imigresen dan agensi penguatkuasaan lain melakukan serbuan di sekitar kawasan Masjid India, di sini, dan menahan ratusan pendatang tanpa izin yang tinggal di kawasan terbabit. -- BERNAMA
No comments:
Post a Comment