Thursday, May 28, 2020

Lembaga disiplin Bersatu diberi tempoh sebulan kaji aduan

Seorang pemimpin Bersatu negeri hari ini menggesa lembaga disiplin parti itu bertindak pantas berhubung aduan yang dibuat terhadap individu yang memanggil mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu pada 11 Mei lalu, yang didakwa tidak sah.

Anuar Abdul Hamid, yang juga timbalan pengerusi Bersatu Kedah berkata, mereka berharap lembaga itu akan menerima aduan yang dibuat enam anggota parti itu segera.

"Hari ini kami telah menerima maklum balas daripada peguam lembaga dispilin yang mengatakan mereka telah menerima aduan kami dan lembaga itu sedang menelitinya dan juga dokumen-dokumen yang dilampirkan.

"Bagaimanapun, menurut firma guaman tersebut, anak guam mereka (lembaga disiplin) tidak berkewajipan dalam sebarang jangka waktu untuk memberi maklum balas terhadap aduan tersebut, dan mereka tidak akan mendedahkan apa-apa buat masa ini sehingga mereka selesai mengkaji perkara itu.

"Oleh itu, saya ingin meminta lembaga disiplin meneliti aduan kami secepat mungkin," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi hari ini.

Anuar berkata, beliau memberi tempoh selama sebulan untuk lembaga disiplin parti itu meneliti aduan tersebut, sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

Awal bulan ini, Anuar bersama-sama lima pemimpin Bersatu dan ahli-ahlinya menulis surat kepada lembaga disiplin untuk menggesa siasatan dan tindakan diambil terhadap mereka yang memanggil mesyuarat Majlis Tertinggi pada 11 Mei lalu.

Mesyuarat itu, yang kemudiannya dibatalkan, dijadual diadakan tanpa kehadiran Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Presidennya Mukhriz Mahathir.

Menurut Anuar, berikutan surat mereka, lembaga disiplin hari ini telah memberi maklum balas kepada mereka melalui firma guaman Chooi, Saw and  Lim Advocates.

Antara lain, maklum balas yang diterima pengadu mengatakan "tindakan yang sewajarnya sedang diambil", dan lembaga itu memiliki "prosedurnya sendiri dalam mengendalikan aduan tatatertib."

Oleh itu, surat yang ditujukan kepada peguam pengadu, Haniff Khatri itu mengatakan anak guamnya (lembaga disiplin Bersatu) tidak tertakluk kepada sebarang had masa yang ditetapkan oleh pengadu.


No comments: